Sebagai manusia yang mempunyai kekurangan, nasihat dan dorongan adalah tiang sokongan untuk mensifarkan kekurangan dalam diri. Dalam kehidupan kita sebagai manusia, pasti ada perbuatan kita mahupun rakan baik kita yang silap dan cara untuk memperbetulkannya adalah dengan nasihat yang berhikmah. Nasihat dalam Islam ialah perkara yang dinasihati dapat memberi manfaat kepada orang yang dinasihati. Rasulullah sendiri mengalakkan kita nasihat-menasihati kerana itu lebih baik untuk mengubah seseorang.
Islam telah memberi garis panduan adab dalam menasihati orang lain agar seseorang itu dapat menerima kata nasihat malah mengubah dirinya sendiri;
- Meluruskan niat sebelum menasihati orang lain agar setiap kata-kata nasihat yang keluar dari mulut dapat diterima dengan hati yang terbuka malah tidak menyakiti hati pendengar tersebut.
- Menjaga ukhwah semasa menasihati.
- Bersih hati semasa menasihati dan menggunakan bahasa yang halus serta mudah diterima terutama dalam memperbetulkan perbuatan sahabat kita yang salah.
- Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Fikirkan solusi yang boleh diikuti oleh orang yang dinasihati supaya mudah untuk dirinya menerima serta berubah.
- Memberi waktu untuk orang yang dinasihati berubah.
Perlu diingat setiap manusia mempunyai tahap penerimaan yang berbeza dalam menerima nasihat. Ada yang boleh menerima nasihat kita dengan hati yang terbuka. Ada juga yang boleh menerima nasihat tetapi tidak berniat untuk mengubah dirinya. Bagaimana pula dengan orang yang langsung tidak boleh menerima nasihat kita? Segalanya bergantung kepada cara kita untuk menasihati seseorang itu sendiri seperti yang telah digariskan di atas.
Realiti hari ini nasihat adalah perkara yang kurang berkesan kerana salah cara. Sukar untuk seseorang itu menerima jika nasihat yang diberikan disertakan dengan kejian. Amat sukar juga seseorang untuk berubah jika nasihat kita hanya menjatuhkan semangat penerima untuk berubah. Sebagai contoh kita menasihati rakan kita supaya meninggalkan perbuatan maksiat yang telah sekian lama dilakukannya tetapi tidak menggalakkan;
"Eh, kau ni bila nak berubah? Maksiat kan haram. Tapi kalau kau berubah pun tetap orang anggap kau kaki maksiat juga."
"Perkara ini tak patut kita buat. Salah. Dah takde guna nak bertaubat"
Sebagai penerima nasihat, terlintas tidak dihati kita untuk menerima dan berubah? Saya pasti boleh menerima tetapi tidak kepada perubahan. Sama juga kita nasihat yang diberikan dalam keadaan emosi. Sebagai contoh menasihati pencuri tetapi dalam keadaan marah. Impaknya bukan dialami oleh kita tetapi si pencuri itu tadi.
Nasihat yang baik adalah adanya tarikan dalam nasihat. Mengaplikasikan garis panduan adab cara-cara menasihati orang lain, perlunya untuk kita menasihati seseorang itu menggunakan bahasa yang lembut dan tenang. Di samping itu kita memberikan semangat ataupun solusi agar si penerima tersebut dengan rela hati menerima malah menjadikan kata-kata kita itu sebagai motivasi dirinya untuk berubah. Tidak kira apa jua perkara, nasihat yang berhikmah adalah medan untuk mengubah orang disekeliling kita.
Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a bahawa Nabi SAW telah bersabda: "Agama itu adalah nasihat." Kami bertanya: "Untuk siapa?" Baginda bersabda lagi: "Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para Imam kaum Muslimin dan umat Islam seluruhnya."
Hadis riwayat al-Imam Muslim.
0 comments:
Post a Comment