6
FEBRUARI 2013
Seawal 6.30 pagi saya dan
rakan-rakan kepimpinan sudah mencelikkan mata untuk menunaikan solat Subuh dan
melakukan persiapan diri untuk meneruskan kembara pada hari yang kedua ini.
Hari ini gaya segak dan professional ingin kami tunjukkan kepada MPP lain.
Kemeja yang pelbagai warna dikenakan dengan tali leher dan seluar slack hitam
beserta kot bagi yang lelaki manakala baju kurung dan kot bagi pihak wanita.
Nampak segak dan kemas masing-masing. Syukur Alhamdulillah, semangat masih
belum terpadam untuk mencari dan berkongsi ilmu dengan MPP universiti yang
lain.
Tepat jam tujuh pagi kami sudah
berkumpul di hadapan bas UniSZA yang membawa kami seperti yang telah di arahkan
oleh pengarah program. Kami membawa keluar semua bagasi dan peralatan kami dari
bilik penginapan di UM kerana kami hanya menyewa penempatan bermula malam
semalam sehingga pagi hari ini sahaja. Kunci bilik yang diberikan semalam telah
dikumpulkan semula kepada Presiden dan Timbalan Presiden 2 kami untuk
dipulangkan kepada pihak MPP UM. Jam 7.46 pagi kami memulakan perjalanan ke
destinasi kami yang kedua selepas UMP semalam. Bergerak keluar ke pintu utama,
sempat kami melihat pelajar-pelajar UM melangkah kaki ke kelas. Perjalanan kami
tidaklah sunyi sepi pada pagi itu. Deruman enjin kenderaan dan bunyian radio
bas menemani kami. Baru saya ingat hari ini masih hari bekerja dan para pekerja
kerajaan, swasta, persendirian mahupun penuntut universiti berpusu-pusu menuju
ke destinasi mereka. Kesesakan pagi ini agak melambatkan perjalanan kami menuju
destinasi seterusnya. Hanya kesabaran yang perlu untuk menghadapi situasi
seperti ini lebih-lebih berada di bandaraya yang tidak pernah tidur. Itulah
Kuala Lumpur.
Kenderaan MPV khas MPP UniSZA dan
pegawai HEPA kami hanya mengikut pergerakan bas dari arah belakang. Sebelum
perjalanan kami sempat berbincang semula, mencari idea baru sedikit selepas
delegasi pertama bersama MPP UMP. Rasa tidak sabar untuk mendengar perkongsian
dari MPP universiti berikutnya terbit lahir dari riak wajah dan gaya
perbincangan itu sendiri.
DELEGASI
2 – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Jam di dalam bas menunjukkan 8.00
pagi. Bas mulai memasuki pintu utama UIAM yang indah gerbangnya cantik
rekaannya. Pintu utamanya sahaja sudah menampakkan unsur keislaman malah
memberi aura ketenangan kepada kami. Bas memberhentikan kami di hadapan sebuah
bangunan batu yang mempunyai reka bentuk seolah-olah sebuah masjid. Sungguh
indah. Turun sahaja kami dari bas, kami bukan disambut dengan MPP UIAM terlebih
dahulu, tetapi memberi satu kejutan kepada kami apabila kedatangan kami
disambut dengan bacaan Al-Fatihah, Asmaul Husna dan bacaan doa. Sungguh sayu
hati kami mendengarnya sambil melihat para pelajar berpusu-pusu menuju ke kelas
tidak kiralah menaiki kenderaan sendiri atau berjalan kaki. Pengawal
keselamatan bertugas mengawal lalulintas. Pabila doa dibacakan, semua menadah
tangan. Allahuakbar. Alangkah tenangnya hati tatkala perjalanan untuk menuntut
ilmu diiringi dengan Nama Allah dan doa. Tanggapan saya, tidak hairanlah jika
seseorang pelajar atau mahasiswa itu bersemangat untuk menuntut ilmu kerana
keberkatan dan rahmat dari-Nya mengiringi. Seolah dirancang sambutan walaupun
kebetulan sahaja kerana telah menjadi amalan harian mereka pada awal pagi.
Diperdengarkan dengan bacaan kalimah-kalimah suci yang bersiaran dari masjid
UIAM.
Disambut oleh MPP dari UIAM, kami sempat
bergambar di tangga yang arif dikenal ‘Tangga Ilmu’ oleh warga UIAM sebelum terus
dibawa ke dewan banquet untuk bersarapan pagi. Duduk semeja dengan salah
seorang barisan kepimpinan MPP UIAM, perkongsian pertama kami adalah mengenai universiti
masing-masing. Perkongsian mengenai pembelajaran, program yang ditawarkan, dan
sebagainya. Kami bercerita mengenai fakulti dan antara program yang ditawarkan
di universiti kami, begitu juga mereka. 14 Kuliyyah atau Fakulti yang
menawarkan pelbagai program daripada asasi, ijazah sarjana serta sarjana dan
dua kampus UIAM yang terdapat di Gombak iaitu kampus induk dan kampus perubatan
yang berlokasi di Kuantan.
Diskusi bermula di dewan
perbincangan yang terletak berhadapan dengan dewan tempat kami bersarapan
sebentar tadi. Menurut Presiden, pejabat mereka sedang dalam proses
pengubahsuaian, jadi melepaslah peluang kami untuk melawati pejabat mereka. Kami
duduk bertentangan antara MPP UniSZA dan MPP UIAM. Perbincangan atau diskusi
ilmiah ini dipengerusikan oleh salah seorang pegawai Hal Ehwal dan Pembangunan
Pelajar (HEPP) dan terus bersambung dengan ucapan penghargaan daripada pegawai
HEPA UniSZA. Yang di-Pertua MPP UIAM mengambil alih aturcara dengan
memperkenalkan barisan kepimpinan MPP UIAM dan membentangkan serba sedikit misi dan visi yang
ingin dibawa oleh mereka sepanjang satu tahun memegang amanah sebagai wakil
pelajar. Setelah saya teliti, setiap misi dan visi mereka selaras dengan
penerapan utama universiti iaitu “Integration, Islamicization, Internationalization
and Comprehensive Excellence” atau lebih dikenali dengan singkatan IIICE. Giliran
diambil alih oleh presiden kami untuk memperkenalkan pula barisan kepimpinan
MPP UniSZA dan memulakan sesi pengdiskusian dengan berkongsi aktiviti yang
telah dilakukan dan akan dilakukan.
Selain itu, pihak kami telah
bertanya beberapa soalan berkaitan kebajikan pelajar lebih-lebih UIAM adalah
sebuah universiti yang bersifat antarabangsa dan pelajarnya juga merupakan
pelajar Malaysia dan antarabangsa. 80 buah Negara yang menjadi warga UIAM. Bayangkan
satu populasi yang sangat ramai dan mempunyai perbezaan dari segi budaya,
pegangan dan cara hidup. Berbanding dengan universiti kami yang pelajarnya
hanyalah pelajar Malaysia sahaja. Jika hendak dikatakan antarabangsa, hanya ada
beberapa orang sahaja yang dating dari Negara luar. Begitu juga dengan
persoalan mengenai cara mereka menghidupkan suasana ilmiah seperti forum,
pidato bebas atau ‘Speaker Corner’ dan bagaimana mereka menarik minat pelajar
untuk melibatkan diri atau menjadi penonton sahaja. Persoalan yang ditanya juga
serba sedikit melibatkan ikatan antara MPP dengan mahasiswa, medium untuk
membawa suara mahasiswa malah mencari kata sepakat dalam apa jua isu yang
diketengahkan, penerapan nilai dan etika Islam dalam diri pelajar tidak kira
apa jua agama seperti pemakaian, akhlak, sahsiah diri dan sebagainya. Persoalan
dijawab dengan jelas oleh Yang di-Pertua dan beberapa orang barisan kepimpinan.
Sama seperti MPP UMP, mereka cuba mewujudkan Parlimen Mahasiswa dan projek ini
bukanlah satu projek yang mudah. Mungkin mudah pada awalnya, tetapi sukar dalam
progressnya.
Bersurai pada jam 10.47 pagi, kami
bertukar-tukar cenderamata dan sekali lagi dalam sesi bergambar di Tangga Ilmu.
Selepas bersalaman, kami terus menaiki bas untuk ke destinasi seterusnya.
Perjalanan kami selepas ini tidaklah begitu jauh realitinya. Jalanraya yang
sehala dan bercabang serta kesesakan lalu lintas yang menyebabkan perjalanan
kami jauh. Tidak mengapa. Halangan nombor dua kerana perkongsian dan penjanaan
idea baru lebih penting. Bukan untuk kami sahaja, tetapi untuk warga UniSZA
sejagat pada hari ini, esok dan akan dating. InshaAllah.
DELEGASI
3 – Universiti Malaya (UM)
Memasuki Universiti Malaya seolah-olah
memasuki sebuah negeri baru yang mempunyai raja, pentadbiran dan peraturan
serta fasilitinya tersendiri. Jika di UniSZA kelajuan kenderaan telah dihadkan
kepada 40 kilometer sejam, di UM lebih rendah lagi. 35 kilometer sejam! Sangat
perlahan. Bas yang membawa kami terus menuju sebuah kompleks yang dikatakan
dikhusukan untuk kegunaan mahasiswa dan juga menempatkan pejabat MPP UM. Di sambut
oleh mereka dengan kuntuman senyuman, kami terus dibawa menuju ke bilik
mesyuarat mereka.
Seperti yang sebelumnya, aturcara
dimulakan dengan ucapan penghargaan daripada pegawai HEPA UniSZA. Presiden MPP
UM memperkenalkan barisan kepimpinan mereka dan serba sedikit membentangkan
aktiviti yang telah dijalankan dalam peringkat universiti, masyarakat mahupun
antarabangsa. Sungguh mengagumkan kerana mereka berjaya menarik pihak luar
untuk mengadakan satu ikatan dalam menjalankan program berkaitan mahasiswa dan
universiti. Persoalan yang kami tujukan lebih kepada kebajikan pelajar luar
kerana melalui perbentangan dari pada MPP UM, aktiviti yang dianjurkan oleh
kolej kediaman juga melibatkan pelajar yang tinggal di luar sebagai peserta. Sedikit
sebanyak kami juga berkongsi situasi di UniSZA agar diskusi ini tidak menjadi
berat sebelah.
Selesai perbincangan ringkas, kami
dijamu dengan makanan tengahari dan makan bersama-sama mereka. Selepas itu,
kami dibawa melawat sekitar Kompleks Siswa yang memang khas untuk kegunaan
mahasiswa. Bangunan yang mempunyai beberapa blok ini menempatkan tempat belajar
dan tempat santai untuk pelajar serta gazebo yang digunakan untuk siapa sahaja
dalam kalangan pelajar UM membuat persembahan tidak kiralah pidato, muzikal,
tarian dan sebagainya. Menarik perhatian kami apabila aktiviti yang dilakukan
setiap hari rabu ini semestinya dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor mereka
sendiri untuk melihat dan memberi sokongan terhadap persembahan pelajar. Ini
sebagai salah satu langkah untuk pelajar menyerlahkan bakat mereka di sampaing
menanam sifat keberanian dalam diri dalam mendepani dunia.
“Sudut Pidato – Speaker Corner”. Tertulis
di atas sebuah papan besi berwarna biru dan terpacak di sebuah kawasan lapang
berhadapan dengan Kompleks Siswa dan bersebelahan dengan gazebo. Seperti yang
diketahui oleh pelbagai pihak, Universiti Malaya merupakan pengasas ‘Speaker
Corner’ sejak zaman pergerakan mahasiswa yang bertujuan untuk menyuarakan apa
jua isu di dalam dan luar kampus secara umum di khalayak ramai. Sudut ini telah
dijadikan contoh kepada universiti-universiti lain dalam menyuarakan pendapat
serta membawa permasalahan dalam kampus. Menurut presiden MPP UM, sudut asal
yang menjadi sejarah bukanlah pada lokasi yang kami lihat pada hari ini tetapi
sudut ini tetap menjadi sejarah yang bermakna kepada UM kerana hasil dari sudut
ini tersemainya sifat keberanian dan kepetahan dalam berkata-kata.
DESTINASI
BERMALAM – UiTM SHAH ALAM
Usai sudah perbincangan kami untuk hari
ini. 2.45 petang waktu di jam tangan dan kami menunggu kedatangan bas untuk ke
destinasi penginapan kami pada hari ini. Jika semalam UM menjadi tempat kami
merebahkan badan, UiTM Shah Alam pula menjadi lokasi untuk hari ini. Kami
bergerak ke KL Sentral untuk menghantar salah seorang rakan kami kerana dia
hendak pulang ke rumahnya yang terletak di Sabah. Oleh kerana tidak mahu
terlepas penerbangan pada hari yang sepatutnya, dia memutuskan untuk pulang
awal ke Terengganu. Kami bersama-sama menemaninya. Itulah hasil ikatan ukhwah
yang terjalin kini dan selamanya. Selamat Tahun Baru Cina!
Perjalanan diteruskan. Setelah dua jam
perjalanan, kami berhenti sebentar di Mid Valley untuk menunaikan solat. Sempat
juga kami meninjau kedai-kedai yang terdapat di dalam pusat membeli-belah
tersebut. Pastinya, hanyalah ‘window shopping’ sahaja yang mampu. Puas kami
mencari surau sehingga menjejakkan kaki ke lantai tiga, tetapi bukanlah surau
yang kami jumpa. Kedai Menjual Haiwan. Oleh kerana di antara kami sukakan
haiwan, kami masuk untuk mencari seekor haiwan yang mempunyai kesamaan spesies
dengan landak iaitu ‘Hedgehog’. Malangnya haiwan tersebut telah habis dijual. Saya
berselisih dengan seorang pengawal yang memakai sut lengkap putih berseluar
hitam dan bertanyakan lokasi surau dalam pusat tersebut. Rupanya kami terlangkau
jauh ke tingkat atas sedangkan surau berada di tingkat paling bawah.
Selesai solat, kami berkumpul semula di
hadapan pintu selatan pusat membeli-belah Mid Valley untuk menunggu kedatangan
bas. Jam 7.06 petang bas tiba dan kami terus bergerak ke UiTM Shah Alam. Perjalanan
mengambil masa satu jam lebih untuk sampai. Tetapi kami diberhentikan sementara
untuk mengisi kekosongan perut sementara presiden mengambil kunci bilik
penginapan daripada pihak MPP UiTM Shah Alam.
9.45 malam kami tiba di UiTM Shah Alam. Berbeza
dengan UM di mana kami ditempatkan di kolej yang dekat antara lelaki dan
wanita, kali ini kami terpisah sangat jauh. Nyata di UiTM ini, kolej kediaman
lelaki dan wanita diasingkan dengan jarak yang jauh untuk menjaga batas pergaulan.
Andaian saya sahaja. Kami berehat dalam sebuah dorm yang menempatkan 8 orang
dalam satu masa. Teringat ketika zaman tinggal di asrama dahulu. Esok kami akan
menyambung kembara dengan MPP UiTM Shah Alam sendiri. Teruskan semangat untuk
berkongsi dan mencari.
0 comments:
Post a Comment