5
FEBRUARI 2013
Seawal
jam 8 pagi, kami sudah siap berpakaian rasmi atau lebih dikenali dengan baju
korporat berwarna hitam hijau kebiruan lengkap berkasut berkumpul di tempat
operasi seharian kami. Hari ini adalah hari pertama perjalanan kami untuk
berkongsi, mencari dan merungkaikan segala persoalan yang bermain di minda kami
dalam membawa dan membangun institusi mahasiswa ke arah yang lebih maju dari
yang sedia maju serta memperkenalkan dengan lebih meluas universiti kami iaitu
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Dengan penuh bersemangat saya melihat
sahabat-sahabat seperjuangan saya membawa bagasi, blazer dan keperluan lain
untuk mengharungi perjalanan kami ini. Pastinya apa yang kami harapkan bukan hanya
sekadar perkongsian ilmiah, ikatan ukhwah dan jalinan kerja juga mahu dibina.
Bak kata pepatah ‘Tak kenal maka tak cinta’.
Dengan menggunakan satu buah bas dan
kenderaan rasmi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA iaitu Naza Ria yang
diberikan oleh Naib Canselor baru kami, kami melangkah perjalanan yang berkat
dan mengharapkan keselamatan dari-Nya dengan sepotong doa menaiki kenderaan.
Wajah ceria, hati terhibur dan semangat berkobar, itulah ekspresi pertama kami
sebelum memulakan perjalanan yang saya rasa agak mencabar dalam masa 4 hari
sahaja merentas universiti di negeri Pahang dan sekitar Lembah Klang, Selangor.
Alhamdulillah cuaca pada hari
pertama perjalanan kami boleh dikatakan agak baik. Tidak menunjukkan
tanda-tanda hujan ataupun panas terik. Sekejap-sekejap angin lembut berhembus
seolah-olah mengiringi perjalanan kami pada hari ini. Lebih kurang jam 9.24
pagi pedal minyak ditekan menggerakkan jentera pembawa penumpang ini ke
destinasi kami yang pertama, Universiti Malaysia Pahang (UMP). Setelah setengah
jam perjalanan, bas membelok ke Lebuhraya Pantai Timur yang baru. Masih belum
siap sepenuhnya, pada amatan saya. Cantik sungguh permandangan di kiri dan
kanan kami. Suasana kampung dan ladang-ladang yang boleh memberi ketenangan.
Tidak hairanlah jika penumpang mudah tertidur ketika dalam perjalanan dek
kerana pokok-pokok yang menghijau, rumah-rumah kampung yang boleh meruntun jiwa
tatkala melihatnya. Berhenti sebentar di sebuah stesen rehat R&R Bandar
Al-Muktafi Billah Shah, kami membasahkan tekak dan mengisi kekosongan perut
sambil melihat pemandangan sekeliling. Mata ini seolah terpaku melihat papan
menu yang tertampal di dinding kedai makan yang kami singgah.
MENU RAKYAT 1 MALAYSIA.
SARAPAN – RM 2.00
MAKANAN TENGAHARI – RM 4.00
Murah sungguh! Amat menepati status
kewangan kepada siapa sahaja yang ingin menjimatkan duit poket. Kami tidak
sabar menunggu tarikh keramat pelancaran Menu Rakyat 1 Malaysia ini di dalam
university kami. Tidak lama lagi. Selepas 45 minit kami menunaikan permintaan
tekak dan perut, perjalanan diteruskan. Hujan renyai-renyai mulai turun. Hati
tidak berhenti berdoa memohon keselamatan sepanjang perjalanan.
DELEGASI
1 – Universiti Malaysia Pahang (UMP)
1.35 petang UMP Kampus Gambang.
Pemandangan yang awalnya hanyalah rimbunan pokok dan bukit-bukau, bertukar
dengan tersergam indahnya struktur bangunan sebuah kampus universiti yang
terletak di Gambang, Pahang. Bas memasuki perkarangan kolej kediaman pelajar
UMP yang terletak bersebelahan dan berhadapan dengan bangunan akademik mereka.
Kolej kediaman pelajar terletak diantara masjid dan pusat Hal Ehwal Pelajar,
Pejabat operasi MPP mereka serta pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan
Antarabangsa (TNCAA) amat menarik minat saya dari segi struktur binaan dan warna
yang menunjukkan kemodenan. Masjid UMP sangat moden walaupun tidaklah sebesar
masjid di tempat kami menuntut ilmu tapi nyata memberi aura kemodenan masa
kini. Saya merasakan satu suasana yang sama tatkala saya pergi ke Kota
Iskandar, Johor Bahru.
Kami disambut oleh salah seorang MPP
UMP di perkarangan asrama mereka. Kami meminta untuk menunaikan solat Jama’
Qasar Zuhur dan Asar di masjid yang berhampiran. Selepas itu, kami dibawa ke
Pejabat MPP mereka yang terletak di penjuru hujung antara kolej kediaman dan
Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) mereka. Memasuki pejabat mereka
membuatkan saya dan rakan-rakan terkejut. Seolah-olah kami memasuki pejabat
‘Art and Design’. Tona warna merah, hijau dan krim yang sangat indah membuatkan
pejabat itu mesra alam. Meja dan kerusinya yang pelbagai corak dan kreatif dari
segi bentuknya menambah keserian dan kecantikan pejabat tersebut. Nyata berbeza
dengan pejabat kami. Tetapi saya tetap bersyukur dengan pejabat kami yang sudah
ada. Kami dijamu dengan juadah yang lazat sebelum lanjut ke agenda yang
seterusnya.
Perbincangan santai antara 17 orang
MPP UniSZA dan 5 orang MPP UMP diadakan di bilik mesyuarat pejabat MPP mereka.
Realitinya tidak semua ahli hadir dalam perbincangan tersebut dari pihak mereka
mahupun pihak kami. Itu tidaklah menjadi permasalahan kerana kami mahukan
perkongsian, pendapat dan buah idea yang baru dalam memantapkan lagi pergerakan
kami sebagai pemimpin mahasiswa. “Revolusi Versatiliti: Pencetus Generasi
Efektif”. Motto yang digunakan dalam MPP UMP pada kali ini. Yang di-Pertua MPP
mereka menyatakan melalui motto ini, mereka ingin membawa dan merealisasikan
satu metodologi yang berasaskan Parlimen Mahasiswa di mana mereka ingin
mendekatkan suara mahasiswa kepada MPP dan membawa suara ini ke tingkat yang
sepatutnya serta menyatakan satu persepakatan mencapai konklusi dalam apa jua
isu yang diketengahkan. Seperti contoh yang selalu mereka perkatakan iaitu isu
Lynas.
Sebagai perkongsian qiyadah kepimpinan,
mereka lebih efektif dalam menyelesaikan isu dalam kampus dan menetapkan dalam
masa dua minggu, permasalahan yang timbul mesti selesai. Untuk isu nasional
seperti isu yang melibatkan Negara dan mahasiswa, pendapat orang yang lebih
tinggi dan arif menjadi keutamaan agar tidak menjadi keraguan dalam memberi
pendirian. Saya melihat betapa pentingnya mewujudkan dan menjaga hubungan
antara MPP dan pihak media dalam usaha mempromosikan universiti yang boleh
dikatakan baru seperti UniSZA. Selain itu, politik dalam kampus menjadi salah
satu agenda perbincangan kami dalam konteks berkongsi sejauh mana ia berlaku
dalam kampus masing-masing. Rumusan dari perbincangan, dapat saya simpulkan
bahawa politik luar yang dibawa masuk ke dalam kampus masih belum diperlukan
dalam universiti yang masih “freshie” seperti UniSZA dan UMP untuk menjaga
keamanan kampus. Mahasiswa bebas untuk menyatakan hak kebebasan bersuara mereka
selagi tidak bertentangan dengan peraturan yang telah ditetapkan dalam
universiti. Setiap mahasiswa mempunyai pendapat yang berbeza dalam satu-satu
isu. Setuju atau membantah, hormatilah pendirian orang lain supaya tidak timbul
kebencian antara satu sama lain. Kita bebas bersuara bukan bermakna kita wajib
bersuara.
Setelah selesai perbincangan santai dan
sesi bergambar antara kami, kami menaiki bas untuk bergerak ke destinasi
seterusnya. Perjalanan kami ke destinasi berikutnya memakan masa 4 jam untuk
tiba. Sepanjang perjalanan, hujan turun membasahi bumi. Masih banyak yang perlu
dikongsi. Rakan-rakan seperjuangan tampaknya sedang lena dalam kesejukan
penghawa dingin bas dan diadun pula dengan kesejukan hujan petang. Lena.
BERMALAM
DI UNIVERSITI MALAYA
Perjalanan kami setakat ini belum
berjumpa tempatnya. Seolah-olah harimau yang belum berjumpa mangsanya dan terus
mencari. Sudah hampir 3 jam perjalanan, masih lagi belum melepasi sempadan
Pahang dan Selangor. Sudah hampir katanya. Terhuyung-hayang bas yang dipandu
pemandu UniSZA melewati lebuhraya MTD. Jalan yang seperti ular kena palu itu
membuatkan kami yang berada di dalamnya tidak dapat menyesuaikan diri dan
natijahnya, tidur sahaja sepanjang perjalanan.
Jam 8 malam, kami sudah memasuki
kawasan Selangor dan Kuala Lumpur. Sebelum tiba ke destinasi, kami berpakat
untuk mengisi kekosongan perut di sebuah kedai makan yang terletak berdekatan
dengan Jalan Chow Kit. Masing-masing menunjukkan reaksi kepuasan kekenyangan. Perjalanan
kami diteruskan ke Universiti Malaya (UM) yang kian hampir. Masuk sahaja di
pintu utama, bas yang membawa kami terus menuju ke Kolej Kediaman Lima yang
melepasi bangunan Dewan Tuanku Naib Canselor. Sempat bersalaman dengan barisan
pimpinan mereka, kami ditempatkan di bilik kediaman pelajar untuk berehat.
0 comments:
Post a Comment