UKHWAH TERCIPTA JALINAN TERLAKSANA UniSZA - UMS

Friday, 1 February 2013






Tidak meriah hidup jika tidak ada pertemuan dalam kehidupan. Tidak terkesan juga kenangan jika tiada perpisahan. Walau sesaat pertemuan adalah lebih baik dari setahun pergaduhan. Itulah kata-kata yang terlintas dalam fikiran saya setelah berjumpa dengan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS). Tidak disangka kedatangan mereka memberi kesan pada saya sebagai salah seorang pimpinan.


       MPP UMS tiba di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) selepas waktu asar. Bertemu dengan mereka yang belajar di Negeri Bawah Bayu memberi satu aura yang berbeza dan sentiasa bermain di fikiran saya pertanyaan kehidupan mereka di sana, di luar dan di dalam kampus. kehidupan mereka berada di negeri yang berbeza suasananya. Jika kita di semenanjung, tiga kaum sahajalah yang kita pasti tahu. Melayu, Cina dan India. Berbeza di Sabah. Mereka lebih kepada kepentingan etnik yang sangat banyak.

      Setelah sesi taaruf antara kami MPP UniSZA dan MPP UMS, presiden kami mula membuka tirai kata untuk memulakan sesi perbincangan santai dalam sama-sama berkongsi pendapat. Saya tertarik apabila Presiden UMS, saudara Juhar mengutarakan tajuk perbincangan mengenai menjana harmoni antara MPP dan universiti. Saya mula terfikir bahawa bagaimana kampus boleh harmoni jika tiada keserasian antara MPP dan pelajar kampus sendiri. Presiden kami pula mengetengahkan konsep Hikmah yang dibawa dalam memacu pelajar dan universiti. Saya nampak persamaan konsep walaupun istilah berbeza. Pastinya bukan kami sahaja yang mahu mengaplikasikan konsep sebegitu, malah kepimpinan universiti lain pun begitu. Saya akan merungkai sendiri dalam delegasi yang akan kami ikuti pastinya untuk mendapat jawapan.

     Disamping berkongsi konsep, kami turut berkongsi kisah perjalanan dalam universiti masing-masing. Terdapat perbezaan serta persamaan antara kami yang dirasakan rugi kalau antara kami tidak menceritakannya. kehidupan seharian mereka sebagai pelajar, perjalanan mereka ke kelas, urusan dan aktiviti mereka dan sebagainya.

     Sebelah malamnya kami membawa mereka bersiar-siar ke sekitar bandar Kuala Terengganu. Berjalan dan bergambar di i-city yang lebih kurang sama dengan aslinya di Shah Alam. Sempat juga kami berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNCAA), Prof Amran. Baru saya tahu bahawa Prof Amran sebelum ini bertugas di UMS. Berseri-seri wajah beliau berbual dengan warga UMS dan kami MPP UniSZA. Tetapi sebelum itu, tidak disangka kami terjumpa Ustaz Azhar Idrus yang menjadi ikon remaja masa kini dalam mencari jawapan dalam isu berkaitan agama berhenti di tempat yang sama setelah beriadah mungkin dengan remaja dan dewasa kawasan Kuala Terengganu. Itulah bonus yang tidak dijangka untuk MPP UMS.

      Mereka akan menyambung perjalanan mereka seawal 6.30 pagi keesokan harinya. Walaupun dalam masa yang singkat, pertemuan kami seolah-olah bukanlah baru berjumpa tetapi seperti rakan lama yang sudah bertahun-tahun tidak bersua. Pastinya kami MPP UniSZA juga akan menjejakkan kaki ke Negeri di Bawah Bayu dan UMS. Tunggu kami ya!

0 comments:

Post a Comment