VALENTINE'S DAY DAN JUSTIFIKASI

Thursday, 14 February 2013






TARIKH 14 FEBRUARI


Bagi pasangan kekasih, tarikh bersejarah ini adalah tarikh yang sangat ditunggu-tunggu untuk meluahkan segala perasaan yang terbuku di dalam hati di samping menyatakan sepenuh rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Lazimnya pada tarikh ini, pasangan perempuan akan membuat coklat untuk diberikan kepada kekasihnya sebagai tanda kasih sayang. Begitu juga pasangan lelaki. Mereka tidak membuat coklat tetapi membelinya di kedai atau mengajak pasangannya makan malam bersama pada tarikh tersebut. Walaupun hari-hari kebiasaan mereka berkasih sayang, tetapi pada tarikh tersebut, ungkapan yang ditujukan lebih mendalam atau simbolik cinta mereka.

         Hari pasangan kekasih atau 'Valentine Day' ini menjadi tradisi kepada masyarakat orang putih untuk mengekspresikan kasih sayang mereka lebih dalam dan nyata. Dimana-mana sahaja akan terpampang iklan dan media untuk meraikan lagi sambutan ini. Ironiknya, sambutan ini juga disambut oleh masyarakat di Malaysia. Bukan sahaja masyarakat bukan Islam, tetapi segelintir umat Islam terlibat sama. Mereka mengimplimenkan cara yang sama dilakukan oleh masyarakat bukan Islam. Disko-disko, hotel-hotel dan tempat-tempat rekreasi tertutup menjadi lokasi mereka bermadu asmara dan tidak lupa juga kepada pengusaha-pengusaha yang berlumba-lumba untuk mencari keuntungan lebih sempena hari tersebut. Sungguh menyedihkan lagi, pemberi keuntungan atau pemeriah lokasi datangnya dari umat Islam. Mereka menyambutnya lebih dari yang dilakukan oleh bukan Islam seolah-olah perayaan sambutan ini adalah perayaan wajib bagi umat Islam.

Surah Al-An'am: 116
"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta(terhadap Allah)".

RAHSIA DI SEBALIK

Mengetahui sejarah dan rahsia di sebalik Valentine Day adalah titik tolak untuk membuka mata umat Islam mengenai kisah sebenar atau justifikasi di balik tabir. Hari Valentine Day (Hari Pasangan Kekasih) atau dikenali nama lain sebagai Hari Saint Valentine merupakan sambutan tahunan yang diadakan pada tarikh khusus iaitu 14 Februari bertujuan untuk meraikan kasih sayang. Sambutan ini diambil bersempena seorang "Christian Martyr" purba yang bernama Saint Valentine. Diasaskan oleh Pope Gelasius 1 pada tahun 496 M, tetapi digugurkan daripada Takwim Saint Rom oleh Pope Paul keenam pada 1969.

           Pada tarikh ini 14 Februari 270 M ini juga merupakan tarikh Saint Valentine dibunuh kerana beliau bertelingkah dengan pemerintah Rom ketika itu, Raja Claudius kedua. Pengikut Saint Valentine telah mengagungkan beliau dan menjadikan tarikh tersebut sebagai tanda peringatan kematian Saint Valentine dan juga lambang ketabahan, keberanian dan kepasrahan beliau mengharungi dugaan hidup. Pengikutnya juga menjadikan hari memperingati kematian ini sebagai salah satu upacara keagamaan yang mesti diraikan.
           
           Upacara keagamaan ini lama-kelamaan telah hilang dan menjadi pesta jamuan kasih sayang oleh bangsa Rom dan tarikhnya bertukar kepada 15 Februari, hari berikutnya sejak abad 16 M. Setelah itu, bangsa-bangsa Rom yang menganut agama Kristian mengaitkan semula pesta jamuan ini dengan sejarah kematian Saint Valentine. Penerimaan upacara kematian Saint Valentine juga dikaitkan sebagai hari berkasih sayang dimana pada waktu itu orang Eropah mempunyai kepercayaan waktu kasih sayang bersemi antara lelaki dan perempuan sebagai "burung jantan dan betina" adalah pada tarikh 14 Februari.

PANDANGAN ISLAM

Menurut pandangan Islam pula, Islam sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Perkara ini dapat dilihat melalui ungkapan di dalam kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah S.A.W. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah suatu batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang di antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya pada kata janji yang manis sahaja. Islam menggalakkan pasangan kekasih untuk mempunyai satu ikatan akad yang sah dan mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi iaitu perkahwinan.

            Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang telah bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan sambutan Valentine Day tidak pernah dianjurkan oleh agama Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu, amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.
   
               Perkataan "tidak digalakkan" itu hendaklah ditafsirkan sebagai haram agar tiada umat Islam yang menyambut perayaan ini. Hakikatnya, hari-hari boleh untuk berkasih sayang dan simbolik cinta yang lebih baik adalah menjadikan suatu hubungan kepada sah dan halal. Melalui perkahwinan. Perlu diingat di dalam hadith ada menyatakan bahawa amalan yang bukan datang dari agama Islam maka ianya akan ditolak.

"Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak"
                                                                        (Hadith riwayat al-Bukhari & Muslim)


0 comments:

Post a Comment