#IKON SISWA - BERSAMA USTAZ BADLISHAH

Friday, 22 March 2013


Ustaz Badlishah bin Alauddin
Jabatan Agama Islam Pahang

Siapa yang tidak mengenali ustaz Badlishah ini? wajahnya seringkali muncul di kaca tv dalam pelbagai rancangan motivasi dan agama. Minda Pagi, Motivasi Pagi di TV3 dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam. Selama ini, saya hanya melihat beliau melalui kaca tv sahaja. Walaupun beliau sering juga datang ke UniSZA, saya tidak pernah lagi bersemuka dengsan beliau. Saya kagum dengan penyampaian beliau yang bersahaja dan menghiburkan penonton.

Tidak sangka kali ini saya dapat bersemuka malah sempat juga berbual dengan beliau. Saya terkejut setelah mendapat panggilan untuk menjadi pengerusi majlis.

"Qayyum, boleh tak nak minta tolong jadi pengerusi untuk program malam ini?"

"Err, program apa tu?" saya bingung juga tiba-tiba diminta untuk menjadi pengerusi majlis.

"Program Bicara Ikon Siswa. Penceramahnya Ustaz Badlishah Alauddin. Programnya ringkas je. Mula jam 9 malam,"

Eh? Ustaz Badlishah?

"Baiklah." Jawab saya ringkas. "Selepas isyak saya datang."

20 MAC 2013 - 8.45 Malam, Foyer Asrama.

Saya menunggu kedatangan beliau dengan penuh debaran. Malah pihak Hal Ehwal Pelajar juga berdebar kerana program yang dijalankan ini bertukar pada saat-saat akhir. Awalnya Bicara Ikon Siswa ini adalah sebuah forum yang melibatkan Ustaz Badlishah dan dua orang pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam sebagai ahli panelnya, tetapi bertukar menjadi ceramah atau "talk show" kerana pensyarah-pensyarah tadi tidak dapat hadir. Risau juga tiada pelajar yang hadir.

Kereta beliau memasuki kawasan perkir kereta di foyer asrama. Saya menyambut beliau dengan ucapan salam. Beliau membalas dengan salam dan juga senyuman. Oleh kerana masih belum ada penonton, beliau berhasrat untuk berjalan sebentar di kawasan kafe baru. Sempat juga saya berbual dengan beliau.

"Pelajar-pelajar masih makan di luar ke?" ustaz bertanya.

"Jarang sebab sudah ada kafe baru ini." Saya pelik sebentar.

"Zaman ustaz dulu belum ada kafe ini. Masa tu ada satu kafe je, nasib baik ada pelajar yang menjual makanan di asrama."

"Ustaz dulu pelajar KUSZA,"

Subhanallah.

"Ustaz 'grade' tahun berapa"? Saya pula yang bertanya.

"Tahun 89, selepas itu ustaz sambung belajar luar Malaysia. InsyaAllah tahun depan ustaz sambung Ph.D di UniSZA ni. Ustaz dah berbincang dengan Dekan FKI, Engku Zaki. Seronok pula rasanya dapat tengok semula UniSZA,"

"Awak ada jawatan dalam MPP?" Soalan ditujukan kembali kepada saya.

"Saya hanya exco sahaja ustaz. Exco Akademik dan Integriti." Ujar saya

"Baguslah, dulu zaman saya dipanggil Dewan Tertinggi Pelajar. Masa itu saya sebagai Timbalan Yang Di-Pertua 1,"

Wah, hebat juga ustaz rupanya.

*********************************************************************************************************

BICARA IKON SISWA: HARAPAN DAN CABARAN TERHADAP NEGARA

Tajuk yang diberikan kepada penceramah untuk disampaikan. Tajuk ini lebih menjurus kepada mahasiswa dan mahasiswi kerana mahasiswa adalah harapan untuk negara. Dalam pada masa yang sama, untuk merealisasikan harapan, cabaran demi cabaran perlu dihadapi. Oleh itu, kita perlu tahu apakah cabaran yang datang agar kita tidak leka dan mengambil ringan.

Dalam ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Badlishah, beliau memulakan muqaddimah bicara dengan memberitahu kami tentang kehebatan orang-orang Yahudi.

Kenapa perlu terangkan kehebatan Yahudi pula?

Hal ini kerana orang Yahudi telah banyak menguasai teknologi dan pembuatan pada hari ini. Anugerah Nobel juga dimenangi oleh orang Yahudi. Sebagai contoh, produk makanan Nestle, McDonald dan sebagainya. Malah media sosial, teknologi komunikasi juga diwujudkan oleh orang-orang Yahudi. Kita memboikot segal produk yang dihasilkan oleh orang-orang Yahudi tetapi yang kita boikot adalah makanan, pakaian sahaja. Bagaimana pula dengan teknologi sedangkan kita tahu teknologi sangat penting pada masa kini.

Asbab orang-orang Yahudi bijak mengusai adalah kerana mereka mengutamakan pendidikan dan ketamadunan.

Hari ini manusia sudah boleh belajar tanpa memerlukan guru. Dengan teknologi sahaja sudah cukup untuk menimba ilmu. Teknologi pada hari ini memudahkan kita untuk menacari sekecil-kecil maklumat. Hanya perlu taip carian maklumat di Google, Yahoo dan sebagainya, maka terpampanglah maklumat yang dikehendaki.

Teknologi memungkinkan segalanya. 

Menurut ustaz Badlishah, ilmu hendaklah diburu, bukan ditunggu. Pada pendapat saya, memang benar ilmu itu ada di mana-mana sahaja. Malah di hadapan kita terdapatnya ilmu. Hanya kita sedar atau pun tidak. Jika ilmu itu datang dengan sendirinya, sudah tentu semua manusia yang terdapat di muka bumi ini bijak pandai. Lahir sahaja ke dunia sudah ada ilmu yang menunggu. Wah, sungguh hebat kalau begitu!

Menurut ustaz, menuntut ilmu kena bijak. Bukan semua ilmu kita perlu terima bulat-bulat. Kalau seseorang itu tidak bijak dalam menuntut ilmu, maka dia akan menjadi seperti orang pada masa lampau. Malah orang seperti ini yang akan mengembalikan dunia ke masa lampau yang tidak tahu apa-apa tentang kemajuan.

Jadilah seperti seekor singa. Kenapa singa boleh memerintah rimba?

Kerana singa mempunyai ngauman yang sangat lantang. Singa juga pemburu tegar. Apabila ingin makan, ia tidak akan menyorok atau menunggu untuk menyerang mangsanya.

Perlunya kita mencontohi singa adalah berani laksana ngauman singa, dan pantang dicabar.

Dalam bicara ikon ini, beliau memberitahu ada beberapa jenis pelajar yang terdapat di universiti:

KUAT BELAJAR TAPI TIDAK BERPERSATUAN

Pelajar seperti ini amat bijak dalam pelajaran tetapi sukar untuk menempuhi dunia pekerjaan lebih-lebih lagi pekerjaan yang banyak melibatkan aktiviti-aktiviti luar. Apabila diminta untuk menjalankan program, mereka tidak tahu dan sukar melakukannya tanpa bantuan. Pelajar seperti lebih sesuai menjadi seorang pengajar seperti guru, pensyarah dan mursyid.

TIDAK KUAT BELAJAR TETAPI KUAT BERPERSATUAN

Pelajar dalam kategori ini selalu dijumpai. Mereka mempunyai banyak kepakaran dan pengalaman dalam menjalankan aktiviti. Akan tetapi mereka akan hilang matlamat sebenar datang ke universiti iaitu belajar dan cemerlang.

BELAJAR 50-50, BERPERSATUAN 50-50 TETAPI KUAT BERNIAGA

Salah satu sifat pelajar yang belajar di universiti. Maklum sahaja di universiti makan minum dan peralatan diri menggunakan duit poket sendiri malah kadangkala pinjaman dan biasiswa yang diberikan tidak mencukupi untuk menampung hidup. Mereka mula membuka perniagaan kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak di blok-blok asrama. Saya tertawa tatkala ustaz menyatakan situasi pelajar semasa ustaz masih menuntut di KUSZA. Pelajar pengajian Islam adalah pelajar yang amat suka berniaga dan kontranya ialah pelajar yang mengambil program perniagaan adalah pelajar yang suka menghabiskan masa di surau.

KUAT BELAJAR DAN KUAT BERPERSATUAN

Pelajar seperti inilah yang sepatutnya dicontohi kerana dapat menyeimbangkan masa dan pelajaran.

Saya amat tertarik dengan satu rangkap ayat dari kata-kata beliau:

"Jika hidup ada ilmu, ianya akan jadi mudah. 
Jika hidup ada seni, ia indah. 
Jika hidup ada iman, kita terarah."


Kesimpulan yang dapat saya buat ialah kita perlu cari ilmu itu bukan sahaja di dalam kelas tetapi cari juga ilmu di luar kelas. Pernah dengar kata-kata "Ilmu Allah sangat luas, jika menggunakan tujuh lautan sebagai dakwat pun ianya masih tidak mencukupi untuk ditulis." Maknanya masih banyak lagi ilmu di muka bumi ini yang sebenarnya kita tidak tahu dan perlu dicari.         

MARILAH MEMBURU ILMU!

1 comments:

Baca entry ni rasa macam ustaz Badlishah sedang bg ceramah.. menarik atas perkongsian..

Post a Comment