KALAU DAH TERLALU MANJA

Monday 18 March 2013




PENDAHULUAN

Sejak dari kecil kita ditimang oleh kedua ibu bapa kita. Apabila lapar, kita menangis maka tangan yang halus memegang sudu dan menyuapkan makanan ke dalam mulut. Apabila kita membuang air, maka akan ada yang membersihkan dan menggantikan pakaian kita. Begitu juga semasa mandi, akan ada yang menyiram air ke seluruh tubuh badan kita sambil dibasuh setiap kotoran yang ada di tubuh kita.

Tatkala kita hendak disekolahkan, akan ada yang mengejutkan pada waktu pagi, menggosokkan pakaian, menyiapkan segala keperluan ke sekolah dan membekalkan makanan mahupun duit poket. Sejak dari kecil apa jua kehendak kita akan dipenuhi walaupun ianya remeh.

"Ayah, nak mainan, nak mainan. Belikanlah"

"Mak, baju adik koyak. tolong jahitkan."

"Mak, nak duit. Nak beli gula-gula."

Banyak yang dipinta dan banyak juga yang dipenuhi. Situasi ini sentiasa berlaku sehinggalah apabila tidak dipenuhi, rungutan akan menjadi senjatanya.

"Ayah, kenapa kipas bilik angah rosak? Macam mana nak tidur kalau panas?"

"Mak, adik tak nak beg ni. tak ada 'style' langsung."

Tidak kurang juga yang menolak apa jua suruhan yang dipinta lebih-lebih datangnya dari kedua ibu bapa kita sendiri.

REALITI MANJA

Di sekeliling kita, ada manusia yang hanya mengharapkan sesuatu hadir di depan mata tanpa perlu usaha. Seolah-olah ada magik. Hanya perlu pinta, pejam mata kemudian muncul apa yang dihajati. Sejak dari kecil lagi kita sudah diajar sebegitu. Hanya pinta maka dapat. Akan tetapi situasi sebegitu berlaku kerana pada waktu itu kita masih tidak memahami keadaan sekeliling. Mahu berjalan pun sukar apatah lagi bercakap.

Kenapa pula sudah besar pun manja?

Apabila sudah terbiasa dengan keadaan sebegini, maka ianya akan terbawa-bawa hinggalah perkara yang boleh diselesaikan sendiri pun minta datang keajaiban malah putus asa. Seperti contoh, dalam pembelajaran. Lazimnya, guru-guru dan pensyarah akan memberikan nota-nota untuk menjadi rujukan kepada pelajar dan selalunya mereka akan memberitahu untuk mencari lagi bahan bacaan sebagai rujukan kerana nota-nota yang mereka berikan adalah ringkasan sahaja. Tetapi oleh kerana sifat manja dan malas, kita liat untuk mencari dan hanya menggunakan nota yang diberikan sebagai 'buku teks'.

Situasi sebegini juga berlaku di rumah. Ada ibu bapa yang akan mengingatkan malah mengajar kita supaya meletakkan pinggan di sinki selepas makan, meletakkan pakaian kotor dalam mesin basuh agar mudah untuk dicuci kemudian, menyidai tuala selepas mandi, mengemas tempat tidur selepas bangun pagi. Walaupun ianya seperti suruhan tetapi perkara sebegini mengajar kita berdikari.

Pada dasarnya, ada beberapa faktor yang perlu diambil kira apabila berlaku situasi manja seperti ini. Antaranya:

1) Ibu dan ayah kerana merekalah yang mencorakkan anak-anak mereka sejak dari lahir lagi. Anak-anak menjadi manja apabila segala kemahuan dipenuhi. Mahu itu, dapat. Mahukan ini, dapat.

2) Apabila berada dalam kemewahan, maka mentaliti manusia juga akan menjadi mewah. Mesti dapat. jika tidak dapat, mulalah membuat komplain dan berkata sana sini.


Jangan jadi seperti ini. Tempat letak pinggan telah disediakan dan peraturan telah dikeluarkan. Oleh kerana sifat malas dan manja, ianya dibiarkan sebegini.


BELAJAR DARI PEMERHATIAN

Perhatikan di sekeliling anda. Pastinya wujud golongan sebegini. Saya telah memerhatikan situasi ini sejak dari sekolah rendah lagi. Malah melihat lagat adik saya serta saya sendiri, saya mula tertanya. "Manjakah aku?"

Kenapa saya berkata begitu?

Sejak dari sekolah rendah lagi saya melihat dan mengalami situasi yang tidak selesa dan hasilnya ialah rungutan.

"Cikgu, panaslah dalam kelas ni. Pasanglah 'aircond'. Macam mana nak belajar kalau panas."

Bila cikgu tanya, "Kenapa awak tak pergi kantin?"

"Jauh la cikgu, penat." Maka itulah jawapan yang keluar sebagai alasan.

Rungutan demi rungutan akan keluar apabila keadaan tidak sesuai atau selesa dengan kita. Jika dikenangkan semula, waktu itu saya dan rakan-rakan masih kecil. Tidak memahami situasi. Tidak mengapa.

Apabila sudah melangkaui usia remaja, situasi ini masih lagi berlaku.

Berbeza dengan dahulunya hanya rungutan, kini rungutan itu telah menjadi komplain, komen, kritikan dan sebagainya. Saya melihat situasi ini menjadi fenomena malah tradisi di usia remaja lebih-lebih lagi pada usia sebegini, permintaan itu menjadi terlalu ekstrim sehinggakan mereka meminta sesuatu yang boleh menyenangkan mereka sahaja tanpa memikirkan risiko malah orang lain.

Kini saya melihat satu lagi situasi 'kemanjaan'. Apabila sesuatu pemintaan itu sudah terwujud, mereka seolah tidak puas dan meminta lagi, lagi dan lagi. Mereka mula mengeluarkan komen dan kritikan. Adakala peraturan manusia yang telah dibuat adalah untuk mengajar kita erti berdikari dan kesedaran dalam diri. Akan tetapi, ianya menjadi satu bebanan kepada orang yang hanya tahu memberi alasan.

Saya agak terkedu apabila melihat sikap masyarakat yang tidak mengenal erti syukur. Bersyukur atas nikmat yang telah diberikan kerana semuanya datang dari Allah. Jika Allah tidak menyuruh asbab untuk mewujudkan nikmat, maka tidak akan dapat merasalah kita nikmat yang diberi. Perlu diingat, Allah boleh tarik balik nikmat yang diberikan bila-bila masa sahaja.

Wasalam.


2 comments:

Assalamualaikum,..

agak kecewa dengan sikap segelintir mahasiswa yang kurang matang dari segi kepatuhan terhadap arahan yang sangat3 simple... mereka benar2 ANAK MANJA.... perlakuan kita melambangkan siapa kita sebenarnya....

Wa'alaikumsalam...

betul tu kak..itulah manusia..selagi belum ditimpa bala..selagi tulah sukar nak bersyukur..nauzubillah..

Post a Comment