PENGHUJUNG TIRAI 2013 – MASA MUHASABAH DIRI!

Saturday, 28 December 2013



Jangan ego untuk muhasabah.
Muhasabah diri sebelum teruskan iltizam.


Pejam celik, pejam celik, tahun 2013 sudah sampai ke penghujungnya. Jikalau kita melihat sebuah drama, ia sudah mendekati season finale atau episod-episod terakhir sebuah cerita. Jika ia sebuah tournament, ia mendekati perlawanan final. Meningkatnya tahun, bermakna meningkat juga usia dan daya fikir kita sebagai manusia. Mengimbau kembali 10 tahun yang lepas, kemungkinan waktu itu kita masih bisa berseronok di dalam zaman kanak-kanak atau remaja. Namun kini, ia boleh dikatakan sebagai kenangan dan memori yang tersimpan.

Masa akan terus berjalan, berjalan, dan berjalan tanpa henti. Satu saat yang terpapar pada jarum jam atau nombor bagi jam digital itu sangat berharga. Jika terlepas sesaat itu, ianya boleh merugikan. Cuba kita fikir sejenak, sudah berapa banyak masa kita rugikan untuk perkara sia-sia? Berapa banyak pula kita gunakan untuk kebaikan?

Sebelum kita membina iltizam baru pada awal tahun 2014, alangkah baiknya jika dapat menyenaraikan kembali segala kesilapan dan kekurangan yang telah kita lakukan sepanjang tahun ini. dalam erti kata lain, MUHASABAH DIRI. Ini bertujuan mengingatkan kembali diri kita agar tidak bertindak mengulang kembali kesilapan yang pernah kita lakukan sebelum ini.

Muhasabah diri bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan diri sendiri, tetapi lebih bertujuan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik pada masa hadapan. Lebih penting lagi, tidak mengulang kesalahan yang sama. Kata Saidina Umar Al-Khattab “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitungkan.” Andai kata kita pernah melakukan kesilapan atau dosa, bertaubat. Andai pernah melakukan kebaikan, teruskan menjadi amalan.

Muhasabah diri tidak memerlukan wang atau tenaga. Hanya duduk sebentar, renung dan senaraikan kembali semua perbuatan kita sepanjang tahun 2013. Tampak remeh, justeru ia membezakan kita dengan orang yang sombong. Dan juga lebih mendekatkan diri kita kepada Allah.

Ibnul Qaiyim pula berkata: “Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali.”

Antara perkara yang wajar kita renungkan kembali dan muhasabah;

Hubungan dengan Allah;
Adakah kita melakukan kewajipan yang disuruh oleh Allah?
Pernah tinggalkan kewajipan itu?
Bagaimana keikhlasan anda sewaktu melakukan kerja? Kerana Allah atau berkehendakkan dunia?
Maksiat?

Hubungan dengan makhluk;
Sudahkah kita memaafi rakan-rakan kita?
Terputuskah ukhwah yang terbina?
Adakah kita telah membina jurang antara kita dengan saudara Islam yang lain?
Terjagakah hubungan kita dengan ibu bapa?
Pernah menyakiti hati sesiapa?

Hubungan dengan alam;
Pernah mengotorkan alam sekitar?
Sejauh mana kita mempertahankan alam ini dari ‘diracun’ oleh tangan-tangan jahil?
Pernah anda merosakkan alam ini dengan maksiat?

Ini hanya sebahagian yang saya rasa perlu kita renungkan kembali untuk diperbaiki.

Ibnul Qaiyim berkata: “Sesiapa yang tidak memuhasabah dirinya di dunia, maka dia berada di dalam kelalaian”.

Mari kita sama sedar lebih awal bahawa kita tidak akan perihal kehidupan kita pada tahun-tahun mendatang. Bak kata pepatah melayu, ......sesal kemudian tidak berguna. Benar bukan? Oleh itu, bersama-sama kita bermuhasabah diri supaya dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku” - adz Dzariyat : 56

InsyaAllah. Dengan izin Allah.

COMANGO: PELUPUS ISLAM SECARA HALUS

Wednesday, 25 December 2013






 Tolak COMANGO!
Pertahankan Islam!
Pertahankan Hak Melayu!

Malaysia sedang berdepan dengan satu gerakan hebat yang menentang perlembagaan dan lebih dahsyat mempertikaikan Islam dan Melayu. Jika sebelum ini mereka bergerak secara halus, kini mereka sudah berani memfailkan tuntutan berkenaan Hak Asasi Manusia (Human Rights) ke Persatuan Bangsa-bangsa bersatu. Mereka telah bersatu dibawah badan bukan kerajaan untuk membawa tuntutan ini agar Malaysia dapat melaksanakannya. Saya melihat perkara ini sebagai suatu yang sangat serius kerana melibatkan isu umat Islam dan Melayu. Mereka telah memperlekehkan kehakiman syariah yang terdapat di Malaysia. Mempertikaikan keistimewaan melayu, malah lebih menyakitkan mereka berani mencabar ajaran agama Islam. Itulah COMANGO.

COMANGO ialah nama singkatan bagi The Coalition of Malaysian NGO. Bergerak sebagai entiti haram yang mendakwa dianggotai oleh 54 NGO di mana hanya 12 pertubuhan sahaja yang berdaftar.  COMANGO telah mengemukakan tuntutan melampau untuk memberi imej buruk dunia antarabangsa terhadap Malaysia dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Majlis Asasi Manusia di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober 2013.

Saya tertarik dengan perbincangan Forum: COMANGO Pengkhianat Negara di mana salah seorang ahli panel, Ustaz Gunawan Abd Aziz yang bercerita kisah beliau sewaktu menghadiri majlis tersebut. Bergerak sebagai anggota Muslim U-Pro untuk mengetahui tuntutan yang dikemukan oleh pihak COMANGO di Majlis Asasi Manusia. Kedatangan mereka bagaikan ‘pendatang asing’ malah urusan mereka untuk mendapatkan status ‘Observer’ bagaikan dihalang oleh pihak yang menguruskan.  Status ini membolehkan mereka melihat perbentangan yang berlangsung tetapi tidak boleh bersuara.

Menurut beliau lagi, 108 buah Negara telah terlibat di dalam majlis atau proses ini. Amat menghairankan apabila rata-rata daripada Negara yang terlibat boleh bercerita tentang perlembagaan Malaysia walhal nama Negara-negara itu jarang di dengari oleh kita sendiri. Nyata mereka-mereka ini telah di ‘lobi’ terlebih dahulu oleh pihak COMANGO. Lebih memeritkan hati apabila melihat terdapat beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan Islam yang turut sama menyokong tuntutan tidak bermaruah ini. MasyaAllah. Mereka yang beragama Islam ini telah hanyut dengan desakan nafsu dan membenarkan apa yang telah diharamkan dan dilarang di dalam Islam.

Tanpa menghurai panjang, saya menyatakan 10 daripada 65 tuntutan yang telah dikemukakan oleh COMANGO. 7 tuntutan ini merupakan di antara tuntutan yang melampau dan boleh menghancurkan Islam secara terang-terangan serta menghina keistimewaan Melayu.
1.      Malaysia dituntut untuk menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) yang bakal mengizinkan pemurtadan berlaku secara berleluasa.

2.      Berkenaan tuntutan untuk Malaysia menandatangani dan memeterai International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) yang akan menyebabkan Malaysia mengikut telunjuk dan acuan sekular barat yang  memaksakan penafsiran istilah ‘racism’ atau perkauman ke atas sesuatu Negara berdaulat. Hal ini mengenepikan tindakan-tindakan domestik yang padahakikatnya  mengambil kira reality dan sejarah serta aspek keagamaan dan sosio-budaya tempatan.


3.      Malaysia ditekan untuk mengiktiraf hak-hak berlandaskan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender). Dakwaan-dakwaan ini kononnya golongan ini dinafikan hak-hak mereka ditimbulkan pada perenggan 6.1.1 dan 6.1.2 laporan tersebut. Terdapat juga tekanan-tekanan untuk menghapuskan seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat.

4.      Perenggan 6.2 mendakwa bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (Constitutional) berkenaan hak-hak istimewa kaum Melayu adalah bersifat perkauman dan diistilahkan sebagai ‘alat politik’ dan juga ciri-ciri utama yang membentuk Perlembagaan Persekutuan.


5.      Perenggan 9 mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, dan khususnya perenggan 9.5 mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa “mengganggu hak peribadi”.

6.      Hak seorang ibu atau bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur juga dijadikan isu hak asasi manusia.

Sudah terang lagi bersuluh. Tuntutan-tuntutan ini telah nyata mencabar Islam dan Melayu. Ayuh bersama-sama bersatu untuk menentang dan memastikan tuntutan-tuntutan yang pedih ini tidak akan terlaksana.

Sumber: http://www.suaram.net/

BALIK KACA

Tuesday, 24 December 2013




Ibarat Rumah Kaca Ini.
Boleh Melihat Alam Dari Dalamnya.
Namun Mampukah Anda Mengubah?



Oleh : Mohamad Qayyum Bin Shamsudin

“Faris Aizuddin, kamu nampak gelas yang cikgu pegang?” Cikgu Rahman menghulur gelas kaca lutsinar kepadaku. Walau dihulur, aku seolah kaku. Sendi-sendiku langsung tidak menunjukkan refleksi untuk mengambil gelas itu. Bingung tampaknya.

“Na..nampak cikgu. Tapi kenapa?” tergagap-gagap aku menjawab. Persoalan timbul dari benak fikiranku. Hanya gelas kaca lutsinar yang kosong. Semasa rehat, Cikgu Rahman duduk bersama aku dan rakan-rakanku yang duduk semeja. Selaku Guru Kaunseling yang terkenal di sekolahku, pasti ada sahaja motivasi yang akan diberikan kepada para pelajarnya.

“Gelas ini lutsinar,” Cikgu Rahman mendekatkan gelas itu ke mukanya sendiri. Mata kirinya dipejam. “Saya boleh melihat kamu semua melalui kaca ini. Kamu juga boleh lihat saya,” Dia menyambung kata. Sekilas dia membelek gelas kaca itu. “Jika saya berada di dalamnya, saya masih boleh melihat kamu semua kerana kaca ini lutsinar. Namun saya tidak dapat menyentuh kamu. Kaca ini menghalangnya. Faris Aizuddin, inilah realiti kehidupan yang cikgu, kamu dan sekeliling kamu lalui dan bakal alami.” Syarah Cikgu Rahman. Dia meletakkan semula gelas itu. Sebelum beredar Cikgu Rahman berkata lagi, “Jika kamu tidak mahu menjadi seperti alat permainan kanak-kanak dalam dunia ini, maka kamu perlu mengubahnya.” Cikgu Rahman tersenyum dan melangkah pergi.

“Hello kawan, termenung jauh nampak?” Tersentap aku seketika. Terus hilang lamunan tadi. Bila ku toleh, Luqman Hafizi, rakan sekelas sewaktu di sekolah dan kini menjadi rakan sekerjaku duduk berhadapan denganku. Seraya aku mengalih pandangan dan mengacau air kopi ais dengan penyedut minuman. Alunan irama terhasil daripada pertembungan ais dan dinding gelas kaca akibat diaduk.

“Tak adalah, aku masih teringat kata-kata Cikgu Rahman,”

“Tentang gelas itu?” Luqman Hafizi mengajukan soalan.

“Ya.” Sambil mengangkat gelas, aku membuat gaya serupa dengan gaya yang diperagakan oleh Cikgu Rahman dahulu. “Aku masih tidak faham maksud tersiratnya.” Aku meletakkan semula lalu menyedut minuman itu. Luqman Hafizi hanya tersenyum.

Jika diingat, sudah 13 tahun berlalu setelah aku dan Luqman Hafizi menamatkan zaman persekolahan. Jika diingat kembali babak ketika itu, aku, Luqman Hafizi dan rakan-rakan sekelas bakal mendepani peperiksaan getir, SPM. Cikgu Rahman adalah guru yang paling aktif ketika itu memberi semangat, dorongan dan sokongan kepada kami supaya kami sentiasa bersemangat menghadapi peperiksaan. Maklumlah penentu masa depan.

“Tenang, hanya kertas di hadapan kamu. Jangan fikirkan jika kamu susah di atas kertas, tapi fikirlah bagaimana hidup kamu jika kamu susah atas bumi ini,” Itulah di antara kata-kata Cikgu Rahman kepada kami.

Bercerita tentang kehidupan, aku dan Luqman Hafizi telah bergraduasi sebagai pemegang ijazah sarjana muda undang-undang. Kini kami berada di bawah satu bumbung. Hasil titik peluh sekian lama. Faris Hafizi & Co – Peguamcara dan Peguambela. Nama yang tersergam indah di atas papan perspek berwarna gelap. Inilah nama ‘periuk nasi’ aku dan Luqman Hafizi setelah diluluskan dan tertakluk dibawah Akta Perkongsian 1961.

Seperti katak di bawah tempurung. Ertinya orang yang cetek pengetahuannya mengenai hal dunia luar. Tercatat dalam Mutiara Bijaksana, perumpamaan bahasa melayu ini memberi sindiran kepada orang yang picik pengetahuannya, yang tidak bersedia menerima kemajuan, mendabik-dabik dada, berbangga dengan sekelumit yang dia ada. Seperti katak dibawah tempurung ialah perumpamaan bagi orang yang bebal lagi dengu. Maka manusia yang demikian itu, tidak mampu memberi apa-apa sumbangan kepada negerinya. Ringkasnya seseorang yang tidak perihal sekeliling mahupun tidak cakna isu-isu semasa.

“Usah kamu jadi seperti katak dibawah tempurung. Apabila ditanya perihal sekeliling, kamu hanya mampu termangu. Terdiam. Apatah lagi isu-isu semasa yang berlaku pada hari ini.” Ujar Cikgu Rahman dalam satu forum bertajuk ‘Remaja Bitara Sinar Kejayaan Negara. “Contohnya kes remaja yang kian gah menjadi hiasan hadapan akhbar, adakah anda mengambil tahu?’

Nada Cikgu Rahman agak tinggi dan tersenyum. Dewan terdiam seketika. Perhatian telah mula diberikan kepadanya dek nadanya yang berubah. Ada sedikit penekanan walau tidak begitu serius.

“Faris, sudah jam berapa?” Bahuku dicuit.

“Oh, maaf. Maaf,” Aku sedikit menggelabah dan terus menyelak lengan bajuku. “Alamak, nak dekat jam dua. Jom balik pejabat.”

Dengan tergesa-gesa aku mengangkat punggungku dan beralih keluar daripada posisi rehatku tadi. Aku nyaris terlanggar bucu meja berhampiran. Jika terlanggar, pasti sakit. Pasti aku menggosok tempat yang kesakitan itu. Hafizi yang melihat gelagat spontanku gelak besar.

“Hahahaha. Sabar Faris. Tak kemana pun pejabat tu.”  Aku tersengih.

“Siapa mahu bayar? Semalam aku giliran aku. Hari ini kau pula.” Usik Hafizi yang tak henti-henti gelak dek kerana kejadian beberapa saat tadi.

“Yelah giliran aku. Aku tahulah.” Seraya aku mengucuk bahagian rusuknya. Serentak badannya menggelitik. Aku tahu itu menjadi kelemahannya. Geli katanya. Mujur sahaja dia tidak menjerit.

Kereta dipandu Hafizi meluncur laju di tengah kesibukan kotaraya Johor Bahru. Aku yang duduk disebelahnya leka mendengar lagu yang berkumandang di corong radio. Sesekali diselangi dengan celoteh DJ Radio. Sehingga beralih ke segmen berita.

Berita Hari Ini: Seorang ahli perniagaan terkemuka yang dituduh atas kesalahan rasuah dibebaskan oleh pihak mahkamah telah dibebaskan daripada pertuduhan. Bukti-bukti yang dikemukan oleh pihak pendakwa tidak dapat mengukuhkan pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau. Mahkamah telah menutup kes ini. Berita seterusnya.........

Punat radio ditekan. Radio tidak lagi mengeluarkan bunyi. Aku terpaku dengan berita tadi.

“Bulan ini hampir kesemua kes rasuah tidak disabitkan kesalahan. Pelik bukan?” Hafizi bersuara. Menyatakan tidak puas hati dengan berita dengan didengari sebentar tadi. “Entah-entah mahkamah pun terima rasuah. Sungguh tak logik!”

**************************************************************************

“Yang Arif, bersama dengan saya adalah beberapa bukti yang menunjukkan bahawa pihak tertuduh terlibat dengan rasuah pada hari Khamis bersamaan dua disember tahun dua ribu sepuluh,”

Aku membentangkan bukti-bukti kepada Tuan Hakim. Foto, rakaman kamera litar tertutup, dan maklumat rangkaian talian pada hari kejadian. Nyata bukti-bukti itu sangat kukuh memandangkan foto yang dijadikan bahan bukti memaparkan mereka tertuduh menyerahkan segumpal not ringgit Malaysia kepada penerima rasuah.

“Saya bantah yang arif, gambar yang diambil dan rakaman kamera litar tertutup telah digunakan teknik super-impose.”

Radhi, peguam bela yang mewakili tertuduh bergerak ke arahku. Matanya merenung tajam kepadaku sebelum mengalih mukanya dan memandang Tuan Hakim.

 “Malahan maklumat rangkaian talian tidak boleh dijadikan bukti kerana kemungkinan bukan tertuduh yang menelefon pada waktu itu. Atau mungkin juga ada orang lain cuba sabotaj tertuduh.” Peguam bela tertuduh membantah.

Kes ini merupakan di antara kes terbesar yang pernah ditangani. Siapa sangka kali ini aku mendakwa seorang ahli perniagaan terkemuka yang terkenal dengan kebajikannya, penderma terbesar kepada ekonomi Negara dan menjadi peneraju kepada industri automotif Negara.

Sebelum ini, beliau sudah beberapa dihadapkan ke mahkamah, namun kesemuanya didapati tidak bersalah. Perkara ini amat membingungkan aku. Aku sudah melihat rakaman kamera litar tertutup dan foto yang diambil oleh ‘informer’. Malah bahan bukti tersebut telah pun disahkan oleh pakar. Nyata ianya asli! Tidak ada teknik super-impose digunakan. Foto ini mungkin diambil oleh seseorang yang mempunyai dendam terhadapnya kerana foto ini dihantar ke pejabatku bersampulkan sampul surat putih dan bertulis ‘Ananymous’ sahaja.

Aku mengemukan lima orang saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan terhadap tertuduh. Setelah menjalani proses temuduga olehku, mereka ini mempunyai keterangan yang kukuh untuk didengar di dalam perbicaraan.

Setelah beberapa jam sesi perbicaraan berlangsung, Tuan Hakim bersuara.

“Mahkamah telah memutuskan bahawa Dato’ Ahmad Fadzil Aziz didapati tidak bersalah di dalam tuduhan rasuah. Bukti-bukti yang dikemukan tidak dapat menyatakan tertuduh bersalah. Keputusan adalah muktamad.” Tukul diketuk tiga kali.

“Mahkamah bersurai.”

Kesemua yang berada di dalam dewan bicara mulai beransur keluar. Hanya aku yang masih berdiri di meja pendakwa. Masih terkesima dengan keputusan yang diberikan.

Dilepaskan? Tidak mungkin! Bukti itu nyata. Apakah yang sedang berlaku?

Radhi berjalan menghampiriku dan sebelum berlalu, dia sempat menepuk bahuku beberapa kali. Aku diam. Dia memberikan aku senyuman sinis.

Aku dah menang!

Mungkin itu yang ingin dilafazkannya. Setelah dewan kosong, aku mula melangkah keluar. Tiba-tiba aku menangkap suara-suara yang datang dari pintu utama. Aku bersandar di balik pintu dan merapatkan telinga ke daun pintu.

“Terima kasih tuan kerana kata saya tak bersalah. Terhutang budi pula rasanya. Dah banyak kali tuan tolong saya. Hahaha.”

“Jangan kata begitu. Jika tidak kerana cek ini, saya akan katakan kamu bersalah. Bukti tu dah terangkan menunjukkan kamu.”

Itu suara Tuan Hakim.

Cek? Astaghfirullah. Adakah Tuan Hakim telah dirasuah?

Mustahil! Mereka telah bersepakat sebelum aku mengemukakan bukti. Aku tidak menyangka perkara ini boleh berlaku dalam menegakkan kebenaran.

Jika saya berada di dalamnya, saya masih boleh melihat kamu semua kerana kaca ini lutsinar. Namun saya tidak dapat menyentuh kamu. Kaca ini menghalangnya. Faris Aizuddin, inilah realiti kehidupan yang cikgu, kamu dan sekeliling kamu lalui dan bakal alami.

***************************************************************************

“Cikgu, boleh saya nak tahu erti sebenar katak di bawah kaca?” Aku bertanya kepada Cikgu Rahman sewaktu duduk di Zon Ilmu. Kebetulan Cikgu Rahman melalui kawasan tersebut, lantas aku memanggilnya dengan cara sopan.

“Katak bawah kaca? Saya tak pernah dengar pun?” Cikgu Rahman mengerutkan dahinya tetapi masih mengukir senyuman.

“Sebelum ini cikgu ada katakan tentang makna perumpamaan katak bawah tempurung. Kemudian cikgu bercerita tentang gelas dengan realiti kehidupan. Jadi, saya mengandaikan bahawa kata-kata cikgu itu mempunyai kaitan. Saya pun simpulkan ianya katak bawah kacalah.”

Aku membuat gaya seolah-olah katak di bawah tempurung dengan menadah tapak tangan kiri dan katak bawah kaca dengan menadah tapak tangan kanan. Cikgu Rahman tersenyum.

“Baiklah. Nampaknya kamu sudah mengerti kata-kata cikgu itu. Cuma belum nampak secara mendalam. Apa pun duduk dahulu. Tak molek berbual menghalang laluan orang lain.”

Aku mengangguk dan menoleh ke belakang. Rupanya ada sekumpulan pelajar perempuan yang terhalang laluannya olehku dan Cikgu Rahman.

“Eh, maaf,” Aku tersengih. Lalu kami pun duduk di kerusi yang disediakan di Zon Ilmu.

“Faris, katak di bawah tempurung bermaksud kamu langsung tidak tahu menahu perihal dunia luar. Isu-isu semasa. Tetapi katak bawah kaca. Eh betulkah apa yang cikgu sebut ni?” Cikgu Rahman pula menyoal aku. Minta kepastian.

“Ya cikgu. Katak bawah kaca. Andaian saya sahaja.” Aku fokus untuk mendengar penjelasan dari Cikgu Rahman.

“Baik, katak bawah kaca. Berbeza dengan perumpamaan melayu, katak bawah kaca bermaksud kamu nampak perkara yang berlaku di hadapan kamu, tetapi kamu tidak mampu membuat apa-apa. Hanya mampu melihat sahaja. Malah ia berlalu begitu sahaja. Tempurung zahirnya legap. Kamu nampak apa-apa melalui bahan legap?”

“Tidak.”

“Kaca zahirnya pula lutsinar. Kamu boleh nampak melaluinya?”

“Ya. Nampak.”

“Begitu juga realiti.”

Aku mengangguk faham.


GLOSARI

Informer – gelaran bagi orang yang berkhidmat memberitahu segala maklumat.
Super-impose – teknik mencantum gambar sehingga memperlihatkan ianya kelihatan asli.