INDAHNYA LANGIT

Saturday 12 January 2013

Dalam rutin harian kita, pastikan mata kita akan sekali-sekala memandang ke atas. Melihat langit biru dan awan putih yang seringkali melintasi malah memenuhi ruang angkasa. Secara lazimnya, pastinya akan terlintas kata-kata ini:

"Cantiknya langit dan awan tu."
"Bagaimana langit boleh tergantung ye?"
"Eh, awan bergeraklah!."
Dan sebagainya kata-kata yang selalu terlintas tatkala menoleh ke atas. Tidak diragukan keindahan langit pada waktu siang malahan malam. Siangnya kita boleh melihat langit indah yang membiru dan malamnya kita boleh melihat bintang-bintang dan bulan tersergam indah. Pernah terfikir bahawa agungnya ciptaan Allah S.W.T yang mencipta langit tanpa tiang. Tanpa sebarang sokongan. Suatu ketika seorang jemaah masjid pernah bercakap dengan saya, "Ciptaan Allah sungguh agung. Allah cipta langit tanpa tiang. Jika hari ini Allah cipta langit dengan adanya tiang maka setiap hari kita akan mendengar kemalangan kapal terbang di atas langit." Walau kedengaran agak mencuit hati tetapi itulah hakikatnya. Cuba kita bandingkan dengan ciptaan manusia hari ini. Sekreatif mana pun seseorang manusia dalam mencipta sesuatu, sokongan dan bahan bantuan seperti konkrit sebagai asas pembinaan sesuatu bangunan mesti ada supaya dapat mengukuhkan lagi ciptaan manusia itu. Lihat betapa indahnya ciptaan Allah. Tatkala matahari terbenam, maka terserlah keindahan langit itu. Begitu juga saat matahari mulai terbit pada waktu pagi. Dengan kuasa Allah, setiap kejadian yang kita lihat dilangit berlaku dengan sempurna. Gunalah mata dan hati kita dengan sebaiknya tatkala melihat ciptaan-ciptaan Allah supaya kita terkesan di samping dapat meningkatkan tahap keimanan dan ketaqwaan kita pada Allah.

Dalam surah Al-Baqarah [117] yang bermaksud: 

"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia."

Sekian.

0 comments:

Post a Comment