KITA ADALAH PENULIS

Wednesday 16 January 2013

Percayakah anda jika saya katakan bahawa setiap daripada kita adalah penulis? Setiap daripada anda merupakan pengarang dan editor yang bekerjaya senyap dan sukarela. Pada hari ini, kita hanya memandang dan menganggap hanya seseorang yang mempunyai minat dalam bidang penulisan dan pengarang sahaja mampu digelar sebagai penulis dan pengarang. Untuk tinta pada hari ini, saya ingin membuka pemikiran anda bahawa setiap daripada kita adalah penulis yang berjaya hanya bergerak di bawahan atau 'underground'.

Realitinya, minat dan bakat dalam bidang penulisan hanyalah bonus untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya dan mata pencarian dalam kehidupan. Tidak dinafikan juga ada yang menjadikan bidang penulisan ini sebagai medium untuk mereka berdakwah kepada orang lain. Tetapi bagaimana pula dengan kita yang tidak pernah terlintas atau berminat dalam bidang penulisan digelar penulis? Pada saya jawapannya adalah "Ya" kerana setiap masa, saat dan detik kita menulis.

Cuba kita renung sejenak perbuatan kita sebelum ini. Imbas kembali kehidupan kita kebelakang. Jika anda perasan kita menulis tidak kira waktu dan tempat. Kita imbas kembali satu hari kebelakang. Jika anda masih belajar, pada waktu pagi anda akan hadir ke kelas dan menulis atau menyalin nota yang diberikan oleh pensyarah. Urusan di fakulti atau bilik guru memerlukan anda untuk menulis. Pada sebelah malam anda juga penulis. Penulis Diari Sepanjang Hari. Tidak ketinggalan juga yang selalu meluahkan perasaan melalui tulisan di buku-buku conteng dan surat cinta.

Irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan penulis dan pengarang. Seorang penulis akan mahir dalam mengarang. Kita adalah pengarang yang terbaik dalam dunia. Tidak kira di mana-mana medium penulisan kita mampu menulis dan mengarang dengan baik walaupun sebaris ayat. Hal ini kerana seorang penulis dan pengarang yang inovatif lahirnya kata-kata dari hati bukannya dari akal.

Akhir kata, jangan takut untuk menulis. Seperti kata HAMKA, tulis saja.

0 comments:

Post a Comment