DISKUSI BUKU BERSAMA SIDI SHEIKH ROHIMUDDIN

Saturday 19 January 2013






Pada 18 Januari 2013 yang lepas, telah berlangsung program Diskusi Buku : Menyulam Cinta Menuju Gerbang Pernikahan. Meriahnya program ini, pengdiskusian mengenai buku ini disampaikan sendiri oleh penulis buku tersebut yang merupakan salah seorang ulama' yang datang dari Republik Indonesia iaitu Al-Mukarram Sidi Sheikh Abu Muhammad Rohimuddin Bin Nawawi Al-Bantani. Diskusi ini berlangsung sepanjang satu hari yang bermula pada awal pagi sehingga malam.


Sidi Sheikh Abu Muhammad Rohimuddin yang lebih mesra dengan panggilan 'Sidi' menerangkan satu persatu helaian hasil tulisan beliau yang telah diterjemah kepada bahasa melayu kepada peserta yang hadir. Tatkala Sidi melangkah masuk ke dewan, ramai yang terpaku melihat keserian wajah seorang ulama' dan diiringi dengan selawat oleh peserta-peserta sendiri. Sekali saya memandang posternya, wajahnya kelihatan seperti pelakon Indonesia, Deddy Mizwar yang menjadi contoh saya kerana lakonan beliau banyak memberi pengajaran dan makna yang tersirat. Sidi sangat tenang orangnya. wajahnya sentiasa mengukir senyuman dari awal kedatangannya sehingga selesai diskusi seolah-olah tidak menzahirkan kepenatan dan kelelahan di wajah Sidi. Pada amatan saya, kemungkinan umur Sidi sudah menjangkau 50-an. Atau mungkin saya silap.

Sidi menerangkan secara terperinci mengenai hukum dan syariat Islam mengenai perkara yang menjadi lumrah dalam setiap diri remaja malah orang dewasa iaitu cinta, pertunangan dan perkahwinan. Sidi menyatakan CINTA itu suci. Pada asalnya. Tetapi cinta itu boleh menjadi kotor jika kita yang mengotorinya. Sidi mengaitkan situasi-situasi pada hari ini yang menjadikan cinta itu sangat kotor malah keji dek kerana perilaku kita yang tidak mengikut syariat Islam. Pendapat saya sebelum ini hampir sama dengan kenyataan Sidi di mana Sidi menzahirkan bahawa ramai manusia berpenyakit Dualisme (inginkan Islam tetapi menggunakan falsafah barat). Mereka ingin menjadikan hubungan mereka mengikut cara Islam iaitu bernikah tetapi sebelum itu mereka telah membuat perkara yang dilarang dalam syariat Islam. Penyakit Dualisme ini juga tidak hanya berlaku dalam pasangan yang bercinta, malah berlaku dalam segelintir insan yang menjadi pemimpin malah pelajar.

Sidi menerangkan berpandukan buku yang beliau tulis iaitu tujuan sebenar perkahwinan yang telah digariskan dalam Islam. Khusus dan umum. Pengkhususan yang telah digariskan mengenai tujuan perkahwinan adalah;

1. Untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui pasangan suami isteri.
2. Mencari berkah melalui doa anak-anak yang Soleh.
3. Berlindung dari godaan Syaitan.

Dalam pengkhususan yang telah digariskan, terdapat juga tujuan-tujuan umum dalam mendirikan rumah tangga iaitu sosiologi, politik, ekonomi, moral, spiritual dan sebagainya. Setelah selesai diskusi, saya sempat bersama  kumpulan Qasidah Al-Muhibbeen mengikuti sesi 'pengijazahan' dengan Sidi. Alhamdulillah, sempat juga saya meminta nasihat dan doa daripada Sidi. Sidi telah menyatakan beberapa perkara kepada saya mengenai ketenangan, istiqamah dalam amalan dan sebagainya. Sejuk saya rasakan selepas Sidi menyentuh bahu saya, sewaktu saya bersalaman dan memeluk Sidi.

Semoga usaha Sidi dirahmati Allah dan saya berharap dapat bertemu Sidi sekali lagi pada waktu akan datang.

0 comments:

Post a Comment