TALIAN AGUNG

Tuesday 15 January 2013

             Apakah nombor talian anda? Adakah anda pengguna rangkaian Maxis? atau mungkin Celcom? atau Digi? Tidak kiralah apa jua rangkaian talian yang digunakan pastinya anda sebenarnya sudah memasuki era komunikasi tanpa halangan. Di mana sahaja anda berada, anda dapat menghubungi keluarga, sahabat handai malah orang tersayang dengan kadar batasan yang minimum. Secara metodologinya, anda hanya perlu mendail nombor orang yang anda ingin berhubung dan menunggu panggilan masuk dari orang tersebut. Jika di alam maya, anda hanya perlu menaip e-mail seseorang itu untuk mengakses talian mereka dan berhubung. Jika talian hayat mempunyai Maxis, Celcom, dan Digi; Talian maya juga mempunyai rangkaiannya tersendiri seperti Facebook yang menjadi kegilaan ramai pada hari ini, Twitter, Tumblr, dan sebagainya.

            Komunikasi hari ini telah membuka ruang kepada seluruh dunia untuk mewujudkan ukhwah dan mengeratkan silaturrahim antara sesama manusia, walhal kepada bukan Islam sekalipun. Komunikasi pada hari ini juga telah membuktikan bahawa sudah tiada jurang untuk kita berhubung yang boleh merentasi seluruh dunia. Tidak percaya? cuba lihat laman sesawang hari ini, lengkap dengan cara untuk berhubung. Bak kata pepatah, hendak seribu daya. Hanya anda sahaja yang rajin atau tidak untuk mengakses dan mencarinya.

           Hakikatnya, kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja dalam dunia ini. Bagaimana pula dengan yang satu ini? Realitinya tidak semua yang mengetahui malah menghubungi nombor ini. Logiknya, jika anda mendail nombor ini, pastinya operator akan mengatakan sebegini:

"Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan."

           2         4         4         3         4. 

Itulah nombor yang jarang kita dengar dalam mana-mana rangkaian talian sebabnya tidak cukup angka. Tapi sedarkah nombor ini sebenarnya penghubung antara kita dan pencipta yang Agung. Melalui nombor talian ini jugalah kita memohon dan mengharapkan sesuatu daripada-Nya. Justeru, apakah yang dimaksudkan daripada nombor-nombor tersebut?

                     2              >             Dua Rakaat Solat Subuh

                     4              >             Empat Rakaat Solat Zuhur

                     4              >             Empat Rakaat Solat Asar

                     3              >             Tiga Rakaat Solat Maghrib

                     4              >             Empat Rakaat Solat Isyak


Subhanallah, cantik sungguh rangkaian talian penghubung kita dengan-Nya. Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T, hubungilah talian ini setiap hari tanpa jemu kerana walaupun tidak terhubung di talian dunia tetapi yakinlah talian ini sentiasa bersambung dan di jawab sendiri oleh Allah S.W.T tanpa letih dan lelah untuk mengangkatnya.

            

0 comments:

Post a Comment