TERSIRAT DISEBALIK CERITA

Monday 28 January 2013


Dari kecil saya suka melihat kartun atau "anime" dari Jepun. Masih saya ingat setiap anime yang menjadi kegilaan saya sehingga hari ini. Majoriti setiap peringkat umur meminati sekurang-kurangnya satu anime yang menjadi obsesi mereka? Cuba tanya ibu dan ayah anda. Pastinya mereka juga salah seorang peminat satu anime zaman dahulu. Saya tidak pernah merasa malu melihat cerita-cerita ini walaupun usia sudah mencecah puluhan tahun. Pada saya, setiap cerita anime ini mempunyai mesej yang tidak ditunjukkan secara kasar.

      Jika anda lihat di Jepun, peminat tegar anime sehingga mereka terlalu obses bukanlah dalam golongan kanak-kanak, tetapi remaja malah dewasa. Mereka sanggup menghabiskan wang semata-mata mengumpulkan figura untuk dijadikan koleksi peribadi mereka. Jika diteliti, harga setiap figura boleh mencecah ribuan ringgit. Logiknya kanak-kanak mampu beli? Jika bukan ibu bapa mereka yang membelikan, tidak mungkin mereka mampu membeli dengan wang sendiri.

      Berbalik tentang maksud tersirat tadi, saya ingin berkongsi dapatan saya dapat selama beberapa tahun pemerhatian saya terhadap cerita-cerita anime ini. Banyak cerita-cerita anime Jepun diadaptasikan atau diolah daripada segi sukan, masakan, seni pertarungan, malah adat istiadat warisan Jepun menjadi sebuah cerita yang gila-gila. Ada sukanya, ada dukanya, ada juga lawaknya. Secara umumnya, semua cerita anime ini hanyalah untuk hiburan semata. Tetapi bagi seseorang yang mampu melihat lebih mendalam, setiap cerita ada pembawaan atau mesej yang ingin disampaikan. 

      Seperti contoh, anime Doraemon yang pastinya semua kanak-kanak mengetahui cerita ini, walaupun cerita ini menunjukkan alat-alat masa hadapan, tersirat dari cerita ini mengajar kita berusaha atas usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain. anime lain yang saya boleh ambil contoh seperti Yakitate Japan. Cerita ini berasaskan tentang pembuatan roti dan disebalik cerita ini juga menggambarkan kesungguhan dalam mengecapi impian yang besar.

        Pernah lihat anime live action hero seperti Kamen Rider? nampak seperti kebudak-budakan bukan?. Mesti anda akan kata:

"Eh, Kau ni macam budak-budaklah!"
"Matanglah sikit."
"Cerita budak-budak jugak kau tengok. Teruk betul."

       Itulah kata-kata yang selalu saya terima dari rakan-rakan tatkala mengetahui saya peminat cerita Kamen Rider. Dari awal muncul sehingga terbaru saya boleh menceritakan satu per satu tentangnya. Tetapi bukan itu yang saya ingin dedahkan. Hakikat sebenar cerita Kamen Rider bukanlah pada kostum dan kegagahan dalam menewaskan musuh. Setiap cerita Kamen Rider yang ditonjolkan mempunyai mesej yang berbeza. Saya mengambil contoh Kamen Rider Kabuto dimana watak utamanya selalu mengingatkan kembali kata-kata neneknya yang merupakan falsafah mengenai kehidupan, kepimpinan, masakan, dan perjuangan. Contoh kata neneknya yang boleh menjadi motivasi:

- Make the world revolve around you. It’s more fun to think that way.
Life is a long path to a goal. Drop your heavy luggage and enjoy walking with your hands empty.
It is enjoyable to eat something delicious, but the greatest joy is the time spent waiting for it.

     Mengambil contoh lain dalam Kamen Rider Fourze, yang banyak berkisarkan zaman persekolahan mengajar kita betapa pentingnya erti sebuah persahabatan dan usaha menjaga hubungan itu agar tidak menjadi rapuh. Watak utamanya sentiasa ingin mencari bersahabat dengan orang disekelilingnya tidak mengenal usia, pangkat mahupun darjat kerana padanya persahabatan itu segala-galanya dalam kehidupan.

       Akhir kata, jangan melihat cerita melalui luaran sahaja dan tidak usah menilainya sebelum mendalami mesej yang ingin dibawa. Siapa tahu cerita-cerita seperti sebenarnya lebih bermotivasi daripada cerita-cerita yang ada sekarang ini.

0 comments:

Post a Comment