SEMOGA KEKAL UKHWAH ITU.........

Sunday, 22 December 2013




Friendship Forever
Ukhwah Kekal Bersama.

Tahun 2006
Aspura SMKA BP

Petang itu telah mempertemukan aku dengan seorang lagi warga baru SMKA BP. Sempat bersalaman dengan ahli keluarganya dan aku tahu bahawa ahli kelas ku juga bertambah. Sudah hampir sebulan juga aku memasuki alam sekolah menengah. Ramai juga kenalan yang kini menjadi rakan baru di dalam institusi pendidikan itu. Awal kemasukan aku ditempatkan di kelas yang kedua sebelum berlaku rombakan dan berpindah ke kelas yang pertama.

“Firdaus...” Warga baru memperkenalkan dirinya sambil diperhatikan oleh ayah dan abangnya. Baru ku tahu abangnya adalah senior tingkatan lima waktu itu di sekolahku. Tangan dihulur tanda perkenalan.

“Owh, Qayyum..” Aku menyambut salam dan mengukir senyuman.

Perkenalan itu pada peringkat permulaannya tidak menunjukkan apa-apa keajaiban. Hanya sekadar mengenal siapa dia dan memperkenalkan siapa aku. Yalah, mudah untuk mencari di dalam asrama nanti.

Kisah ‘Hang Tuah’ ini terus berkembang dengan perkenalan kepada beberapa orang lagi sahabat-sahabatku yang ku kira mereka ini unik. Seorang yang sangat sukakan anime terutamanya Gundam malah boleh melukisnya persis watak asal. Izzuddeen atau kami mesra dengan panggilan Izzu ini ku kenali dengan perwatakannya yang ‘cool’ dan rajin. Antara pelajar yang cemerlang di dalam ‘batch’ kami. Sikap beliau yang tenang dan tak kisah itu sangat memberikan motivasi kepadaku. Walaupun dia ini kuat tidur, tetapi otaknya sangat geliga. Tidak hairanlah Izzu boleh menjadi pelajar cemerlang. Aku masih ingat lagi hampir setiap malam kami tidur lewat untuk mengulang kaji. Dan maggi yang menjadi peneman perut tatkala berkeroncong. Antara saat best adalah makan maggi yang telah kembang. Memang tiada rasalah jawabnya. Seperti makan mi kuning tanpa rencah. Tetapi selepas memasuki tingkatan empat. Izzu telah berpindah ke MRSM. Sejak itu jarang aku bertemu dengannya.

Aizuddin dan Jufrie, antara sahabat-sahabatku yang sering bersama-sama. Kami sudah seperti grup trio. Walaupun berbeza kelas tetapi aku senang bersama mereka ini. Peneman tatkala suka, penenang tatkala duka. Permasalahan yang ku hadapi sering ku ceritakan kepada mereka. Awalnya aku jengkel juga kerana apa yang aku ceritakan seolah-olah diambil remeh. Namun, aku tersilap memberi pengadilan. Mereka mendengar setiap bait kata-kataku kemudian memberi nasihat. Semasa di tingkatan lima, hampir setiap malam juga aku mengulangkaji bersama Aizuddin dengan beralaskan lantai dan Nescafe. Walaupun Nescafe yang ku minum, tetap sahaja aku tertidur. Sehinggalah warden asrama ternampak aku tidur di atas lantai dan memberikan amaran.

Dalam ‘Hang Tuah’ ada 7 saudara. Di sini ingin ku ceritakan juga dua orang lagi sahabat yang menjadi memori indah dalam ingatanku. Salah seorangnya ialah Firdaus. Kami menggelarnya ‘besi’ dek kerana dia antara orang yang kuat bersukan dan sering memasuki acara-acara sukan sekolah. Seorang yang ku kenal adakala dia ini lawak adakalanya tegas. Aku tidak menyangka akan duduk sekelas bersamanya selama lima tahun! Paling tidak ku lupa apabila aku dan dia duduk bersebelahan semasa tingkatan empat dan lima. Seperti sudah dirancang pula. Dia memang hebat dalam ilmu hisab (Matematik). Tidak dapat ku nafikan perkara itu. Sewaktu kelas Matematik Tambahan, dia banyak membantu aku untuk mengelak daripada menjadi mangsa ‘pelarian padang’. Kadangkala kami kalah juga pada ‘trick’ yang digunakan guru kami.

Luqman Yunus atau ‘nickname’ yang kami berikan padanya, Loq Yun. Aku dan Loq Yun mempunyai banyak kenangan dalam perjuangan. Di dalam pengawas, program, malah pertandingan. Seorang yang hebat dalam pemikiran. Tidak hairanlah dia boleh berdebat. Kami selalu memikirkan masalah umat dan apa yang berlaku di sekeliling. Aku kadangkala merasa rendah diri apabila berada di sampingnya. Wah, banyak kekurangan aku. Aku sangat menghormati Loq Yun kerana senangnya untuk didekati, tidak lokek berkongsi ilmu dan mudah bergaul. Antara aku dan dia, memori yang masih terukir adalah sewaktu kami bersama-sama menjadi peserta pertandingan Debat Arab Kebangsaan. Sepatutnya waktu lapang itu kami gunakan untuk latihan, namun kami bersepakat dengan ustaz untuk menyaksikan perlawan bola. Nasib baik kami menang pagi itu. Rezekilah katakan. Aku pernah mengharap untuk terus bersama dengannya sehingga ke menara gading. Namun itu semua hanya perancangan dan penentuan itu datangnya daripada Allah.

2011-2013
Jalan itu telah tertulis.......

Kami telah terpisah oleh laluan kerjaya yang berbeza. Waktu ini masing-masing sudah memikirkan hala tuju masa depan sendiri. Begitu juga aku. Firdaus telah menyambung ke Melaka, Luqman ke Negeri Sembilan. Jufrie menyambung ke tingkatan enam dan kini berjaya ke puncak di Negeri Sembilan. Manakala aku dan Aizuddin ke Pantai Timur dalam menara yang sama. Sejak daripada itu jarang aku mendengar kisah mereka.

Walaupun begitu, aku tidak patut menjadi bisu dalam cerita ini. Aku perlu lakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya mendapat respon dari mereka. Mesej, chat, perbualan antara yang ku lakukan. Jujurnya aku menjadi sebak dapat mendengar suara mereka. Suara yang sekian lama tenggelam kini dapat ku dengar kembali. Alhamdulillah mereka masih mengingati diri ini. Aku tidak mahu ukhwah itu terhenti sebelum aku menghembuskan nafas yang terakhir.

Alhamdulillah aku masih diberi kesempatan untuk bersua dengan Loq Yun dan Jufrie. Bertanya khabar dan bercerita sepanjang perpisahan itu berlaku. Izzu sempat ku hubungi sewaktu hari raya. Firdaus dan Aizuddin? Firdaus hanya ku hubungi melalui media sosial. Masih seperti dulu dan banyak memberikan nasihat kepadaku sewaktu aku berada dalam fasa patah hati. Begitu juga Jufrie. Mereka ini ibarat kaunselor tak bertauliah padaku. Aizuddin selalu aku temui. Malah kami berada dalam organisasi yang sama. Alhamdulillah atas izin Allah.

Sewaktu aku di Singapura, menghampiri waktu perpisahan bersama peserta-peserta MABIMS, kata-kata yang membuat aku tersentuh;

“Jika perpisahan itu menyakitkan, mengapa perlu ada pertemuan?”

Memang benar. Jika kenangan dan memori indah itu masih mekar, perpisahan adalah suatu yang sangat menyakitkan. Namun, ada ibrah di sebalik semua itu. Ia mengajar aku erti ukhwah yang sebenar.

“Seorang mukmin terhadap mukmin (lainnya) bagaikan satu bangunan, satu sama lain saling menguatkan.” (HR. Al Bukhari dan Muslim).

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati bagaikan satu tubuh. Jika salah satu anggotanya merasakan sakit maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga dan merasakan demam.” (HR. Muslim)

Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah kabarkanlah kepadaku amal yang dapat memasukkan aku ke surga”. Rasulullah menjawab; “Engkau menyembah Allah, jangan menyekutukan-Nya dengan segala sesuatu, engkau dirikan shalat, tunaikan zakat dan engkau menyambung silaturahmi”. (HR. Bukhari).

Semoga ukhwah ini berkekalan. Tidak kira di mana jua kamu, ingati segala kenangan yang pernah lalui semasa di bangku persekolahan. Suka dan duka bukan isunya, namun bagaimana kamu menyimpannya di dalam diri kamu.

Kepada Aizuddin, Firdaus, Luqman, Jufrie dan Izzuddeen.

4 comments:

Man...That's a trip down the memory lane, bud...
Wonder when will we get the chance to get together and go crazy again...

i hope one day the chance to get together will become true...even for a minute. :)

Muahx!! Mmuahx!! Kapak.. #lagapipi
Berlinang air mataku membasahi bantal busukku

hahahaha....besi sahabatku...hehehe...

Post a Comment