Ibarat Rumah Kaca Ini.
Boleh Melihat Alam Dari Dalamnya.
Namun Mampukah Anda Mengubah?
Oleh : Mohamad
Qayyum Bin Shamsudin
“Faris
Aizuddin, kamu nampak gelas yang cikgu pegang?” Cikgu Rahman menghulur gelas
kaca lutsinar kepadaku. Walau dihulur, aku seolah kaku. Sendi-sendiku langsung
tidak menunjukkan refleksi untuk mengambil gelas itu. Bingung tampaknya.
“Na..nampak
cikgu. Tapi kenapa?” tergagap-gagap aku menjawab. Persoalan timbul dari benak
fikiranku. Hanya gelas kaca lutsinar yang kosong. Semasa rehat, Cikgu Rahman
duduk bersama aku dan rakan-rakanku yang duduk semeja. Selaku Guru Kaunseling
yang terkenal di sekolahku, pasti ada sahaja motivasi yang akan diberikan
kepada para pelajarnya.
“Gelas ini
lutsinar,” Cikgu Rahman mendekatkan gelas itu ke mukanya sendiri. Mata kirinya
dipejam. “Saya boleh melihat kamu semua melalui kaca ini. Kamu juga boleh lihat
saya,” Dia menyambung kata. Sekilas dia membelek gelas kaca itu. “Jika saya
berada di dalamnya, saya masih boleh melihat kamu semua kerana kaca ini
lutsinar. Namun saya tidak dapat menyentuh kamu. Kaca ini menghalangnya. Faris
Aizuddin, inilah realiti kehidupan yang cikgu, kamu dan sekeliling kamu lalui
dan bakal alami.” Syarah Cikgu Rahman. Dia meletakkan semula gelas itu. Sebelum
beredar Cikgu Rahman berkata lagi, “Jika kamu tidak mahu menjadi seperti alat
permainan kanak-kanak dalam dunia ini, maka kamu perlu mengubahnya.” Cikgu
Rahman tersenyum dan melangkah pergi.
“Hello kawan,
termenung jauh nampak?” Tersentap aku seketika. Terus hilang lamunan tadi. Bila
ku toleh, Luqman Hafizi, rakan sekelas sewaktu di sekolah dan kini menjadi
rakan sekerjaku duduk berhadapan denganku. Seraya aku mengalih pandangan dan
mengacau air kopi ais dengan penyedut minuman. Alunan irama terhasil daripada
pertembungan ais dan dinding gelas kaca akibat diaduk.
“Tak adalah,
aku masih teringat kata-kata Cikgu Rahman,”
“Tentang gelas
itu?” Luqman Hafizi mengajukan soalan.
“Ya.” Sambil
mengangkat gelas, aku membuat gaya serupa dengan gaya yang diperagakan oleh
Cikgu Rahman dahulu. “Aku masih tidak faham maksud tersiratnya.” Aku meletakkan
semula lalu menyedut minuman itu. Luqman Hafizi hanya tersenyum.
Jika diingat,
sudah 13 tahun berlalu setelah aku dan Luqman Hafizi menamatkan zaman
persekolahan. Jika diingat kembali babak ketika itu, aku, Luqman Hafizi dan
rakan-rakan sekelas bakal mendepani peperiksaan getir, SPM. Cikgu Rahman adalah
guru yang paling aktif ketika itu memberi semangat, dorongan dan sokongan
kepada kami supaya kami sentiasa bersemangat menghadapi peperiksaan. Maklumlah
penentu masa depan.
“Tenang, hanya
kertas di hadapan kamu. Jangan fikirkan jika kamu susah di atas kertas, tapi
fikirlah bagaimana hidup kamu jika kamu susah atas bumi ini,” Itulah di antara
kata-kata Cikgu Rahman kepada kami.
Bercerita
tentang kehidupan, aku dan Luqman Hafizi telah bergraduasi sebagai pemegang
ijazah sarjana muda undang-undang. Kini kami berada di bawah satu bumbung.
Hasil titik peluh sekian lama. Faris Hafizi & Co – Peguamcara dan
Peguambela. Nama yang tersergam indah di atas papan perspek berwarna gelap.
Inilah nama ‘periuk nasi’ aku dan Luqman Hafizi setelah diluluskan dan
tertakluk dibawah Akta Perkongsian 1961.
Seperti katak
di bawah tempurung. Ertinya orang yang cetek pengetahuannya mengenai hal dunia
luar. Tercatat dalam Mutiara Bijaksana, perumpamaan bahasa melayu ini memberi
sindiran kepada orang yang picik pengetahuannya, yang tidak bersedia menerima
kemajuan, mendabik-dabik dada, berbangga dengan sekelumit yang dia ada. Seperti
katak dibawah tempurung ialah perumpamaan bagi orang yang bebal lagi dengu.
Maka manusia yang demikian itu, tidak mampu memberi apa-apa sumbangan kepada
negerinya. Ringkasnya seseorang yang tidak perihal sekeliling mahupun tidak
cakna isu-isu semasa.
“Usah kamu jadi
seperti katak dibawah tempurung. Apabila ditanya perihal sekeliling, kamu hanya
mampu termangu. Terdiam. Apatah lagi isu-isu semasa yang berlaku pada hari
ini.” Ujar Cikgu Rahman dalam satu forum bertajuk ‘Remaja Bitara Sinar Kejayaan
Negara. “Contohnya kes remaja yang kian gah menjadi hiasan hadapan akhbar,
adakah anda mengambil tahu?’
Nada Cikgu Rahman agak tinggi dan tersenyum. Dewan terdiam seketika. Perhatian telah mula diberikan kepadanya dek nadanya yang berubah. Ada sedikit penekanan walau tidak begitu serius.
“Faris, sudah
jam berapa?” Bahuku dicuit.
“Oh, maaf.
Maaf,” Aku sedikit menggelabah dan terus menyelak lengan bajuku. “Alamak, nak
dekat jam dua. Jom balik pejabat.”
Dengan
tergesa-gesa aku mengangkat punggungku dan beralih keluar daripada posisi
rehatku tadi. Aku nyaris terlanggar bucu meja berhampiran. Jika terlanggar,
pasti sakit. Pasti aku menggosok tempat yang kesakitan itu. Hafizi yang melihat
gelagat spontanku gelak besar.
“Hahahaha.
Sabar Faris. Tak kemana pun pejabat tu.” Aku tersengih.
“Siapa mahu
bayar? Semalam aku giliran aku. Hari ini kau pula.” Usik Hafizi yang tak
henti-henti gelak dek kerana kejadian beberapa saat tadi.
“Yelah giliran
aku. Aku tahulah.” Seraya aku mengucuk bahagian rusuknya. Serentak badannya menggelitik.
Aku tahu itu menjadi kelemahannya. Geli katanya. Mujur sahaja dia tidak
menjerit.
Kereta dipandu
Hafizi meluncur laju di tengah kesibukan kotaraya Johor Bahru. Aku yang duduk
disebelahnya leka mendengar lagu yang berkumandang di corong radio. Sesekali
diselangi dengan celoteh DJ Radio. Sehingga beralih ke segmen berita.
Berita Hari
Ini: Seorang ahli perniagaan terkemuka yang dituduh atas kesalahan rasuah
dibebaskan oleh pihak mahkamah telah dibebaskan daripada pertuduhan.
Bukti-bukti yang dikemukan oleh pihak pendakwa tidak dapat mengukuhkan
pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau. Mahkamah telah menutup kes ini.
Berita seterusnya.........
Punat radio
ditekan. Radio tidak lagi mengeluarkan bunyi. Aku terpaku dengan berita tadi.
“Bulan ini hampir
kesemua kes rasuah tidak disabitkan kesalahan. Pelik bukan?” Hafizi bersuara.
Menyatakan tidak puas hati dengan berita dengan didengari sebentar tadi.
“Entah-entah mahkamah pun terima rasuah. Sungguh tak logik!”
**************************************************************************
“Yang Arif,
bersama dengan saya adalah beberapa bukti yang menunjukkan bahawa pihak
tertuduh terlibat dengan rasuah pada hari Khamis bersamaan dua disember tahun
dua ribu sepuluh,”
Aku
membentangkan bukti-bukti kepada Tuan Hakim. Foto, rakaman kamera litar
tertutup, dan maklumat rangkaian talian pada hari kejadian. Nyata bukti-bukti
itu sangat kukuh memandangkan foto yang dijadikan bahan bukti memaparkan mereka
tertuduh menyerahkan segumpal not ringgit Malaysia kepada penerima rasuah.
“Saya bantah
yang arif, gambar yang diambil dan rakaman kamera litar tertutup telah
digunakan teknik super-impose.”
Radhi, peguam
bela yang mewakili tertuduh bergerak ke arahku. Matanya merenung tajam kepadaku
sebelum mengalih mukanya dan memandang Tuan Hakim.
“Malahan maklumat rangkaian talian tidak boleh
dijadikan bukti kerana kemungkinan bukan tertuduh yang menelefon pada waktu
itu. Atau mungkin juga ada orang lain cuba sabotaj tertuduh.” Peguam bela
tertuduh membantah.
Kes ini
merupakan di antara kes terbesar yang pernah ditangani. Siapa sangka kali ini
aku mendakwa seorang ahli perniagaan terkemuka yang terkenal dengan
kebajikannya, penderma terbesar kepada ekonomi Negara dan menjadi peneraju kepada
industri automotif Negara.
Sebelum ini,
beliau sudah beberapa dihadapkan ke mahkamah, namun kesemuanya didapati tidak
bersalah. Perkara ini amat membingungkan aku. Aku sudah melihat rakaman kamera
litar tertutup dan foto yang diambil oleh ‘informer’. Malah bahan bukti
tersebut telah pun disahkan oleh pakar. Nyata ianya asli! Tidak ada teknik
super-impose digunakan. Foto ini mungkin diambil oleh seseorang yang mempunyai
dendam terhadapnya kerana foto ini dihantar ke pejabatku bersampulkan sampul
surat putih dan bertulis ‘Ananymous’ sahaja.
Aku mengemukan
lima orang saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan terhadap tertuduh.
Setelah menjalani proses temuduga olehku, mereka ini mempunyai keterangan yang
kukuh untuk didengar di dalam perbicaraan.
Setelah
beberapa jam sesi perbicaraan berlangsung, Tuan Hakim bersuara.
“Mahkamah telah
memutuskan bahawa Dato’ Ahmad Fadzil Aziz didapati tidak bersalah di dalam
tuduhan rasuah. Bukti-bukti yang dikemukan tidak dapat menyatakan tertuduh
bersalah. Keputusan adalah muktamad.” Tukul diketuk tiga kali.
“Mahkamah
bersurai.”
Kesemua yang
berada di dalam dewan bicara mulai beransur keluar. Hanya aku yang masih
berdiri di meja pendakwa. Masih terkesima dengan keputusan yang diberikan.
Dilepaskan?
Tidak mungkin! Bukti itu nyata. Apakah yang sedang berlaku?
Radhi berjalan
menghampiriku dan sebelum berlalu, dia sempat menepuk bahuku beberapa kali. Aku
diam. Dia memberikan aku senyuman sinis.
Aku dah menang!
Mungkin itu
yang ingin dilafazkannya. Setelah dewan kosong, aku mula melangkah keluar.
Tiba-tiba aku menangkap suara-suara yang datang dari pintu utama. Aku bersandar
di balik pintu dan merapatkan telinga ke daun pintu.
“Terima kasih
tuan kerana kata saya tak bersalah. Terhutang budi pula rasanya. Dah banyak
kali tuan tolong saya. Hahaha.”
“Jangan kata
begitu. Jika tidak kerana cek ini, saya akan katakan kamu bersalah. Bukti tu
dah terangkan menunjukkan kamu.”
Itu suara Tuan
Hakim.
Cek?
Astaghfirullah. Adakah Tuan Hakim telah dirasuah?
Mustahil!
Mereka telah bersepakat sebelum aku mengemukakan bukti. Aku tidak menyangka
perkara ini boleh berlaku dalam menegakkan kebenaran.
Jika saya
berada di dalamnya, saya masih boleh melihat kamu semua kerana kaca ini
lutsinar. Namun saya tidak dapat menyentuh kamu. Kaca ini menghalangnya. Faris
Aizuddin, inilah realiti kehidupan yang cikgu, kamu dan sekeliling kamu lalui
dan bakal alami.
***************************************************************************
“Cikgu, boleh
saya nak tahu erti sebenar katak di bawah kaca?” Aku bertanya kepada Cikgu
Rahman sewaktu duduk di Zon Ilmu. Kebetulan Cikgu Rahman melalui kawasan
tersebut, lantas aku memanggilnya dengan cara sopan.
“Katak bawah
kaca? Saya tak pernah dengar pun?” Cikgu Rahman mengerutkan dahinya tetapi
masih mengukir senyuman.
“Sebelum ini
cikgu ada katakan tentang makna perumpamaan katak bawah tempurung. Kemudian
cikgu bercerita tentang gelas dengan realiti kehidupan. Jadi, saya mengandaikan
bahawa kata-kata cikgu itu mempunyai kaitan. Saya pun simpulkan ianya katak
bawah kacalah.”
Aku membuat
gaya seolah-olah katak di bawah tempurung dengan menadah tapak tangan kiri dan
katak bawah kaca dengan menadah tapak tangan kanan. Cikgu Rahman tersenyum.
“Baiklah.
Nampaknya kamu sudah mengerti kata-kata cikgu itu. Cuma belum nampak secara mendalam.
Apa pun duduk dahulu. Tak molek berbual menghalang laluan orang lain.”
Aku mengangguk
dan menoleh ke belakang. Rupanya ada sekumpulan pelajar perempuan yang
terhalang laluannya olehku dan Cikgu Rahman.
“Eh, maaf,” Aku
tersengih. Lalu kami pun duduk di kerusi yang disediakan di Zon Ilmu.
“Faris, katak
di bawah tempurung bermaksud kamu langsung tidak tahu menahu perihal dunia
luar. Isu-isu semasa. Tetapi katak bawah kaca. Eh betulkah apa yang cikgu sebut
ni?” Cikgu Rahman pula menyoal aku. Minta kepastian.
“Ya cikgu.
Katak bawah kaca. Andaian saya sahaja.” Aku fokus untuk mendengar penjelasan
dari Cikgu Rahman.
“Baik, katak
bawah kaca. Berbeza dengan perumpamaan melayu, katak bawah kaca bermaksud kamu
nampak perkara yang berlaku di hadapan kamu, tetapi kamu tidak mampu membuat
apa-apa. Hanya mampu melihat sahaja. Malah ia berlalu begitu sahaja. Tempurung
zahirnya legap. Kamu nampak apa-apa melalui bahan legap?”
“Tidak.”
“Kaca zahirnya
pula lutsinar. Kamu boleh nampak melaluinya?”
“Ya. Nampak.”
“Begitu juga
realiti.”
Aku mengangguk
faham.
GLOSARI
Informer –
gelaran bagi orang yang berkhidmat memberitahu segala maklumat.
Super-impose –
teknik mencantum gambar sehingga memperlihatkan ianya kelihatan asli.
3 comments:
Faris Aizuddin? oii..sape yg membenarkan? hahaha
daku menyemai kamu berdua sebagai watak dalam cerita ini dan seterusnya. :)
komen2 anda dapat membantu saya untuk meningkatkan penulisan saya. jangan lupa komen dan follow ya. terima kasih :)
Post a Comment