BALIK KACA

Tuesday, 24 December 2013




Ibarat Rumah Kaca Ini.
Boleh Melihat Alam Dari Dalamnya.
Namun Mampukah Anda Mengubah?



Oleh : Mohamad Qayyum Bin Shamsudin

“Faris Aizuddin, kamu nampak gelas yang cikgu pegang?” Cikgu Rahman menghulur gelas kaca lutsinar kepadaku. Walau dihulur, aku seolah kaku. Sendi-sendiku langsung tidak menunjukkan refleksi untuk mengambil gelas itu. Bingung tampaknya.

“Na..nampak cikgu. Tapi kenapa?” tergagap-gagap aku menjawab. Persoalan timbul dari benak fikiranku. Hanya gelas kaca lutsinar yang kosong. Semasa rehat, Cikgu Rahman duduk bersama aku dan rakan-rakanku yang duduk semeja. Selaku Guru Kaunseling yang terkenal di sekolahku, pasti ada sahaja motivasi yang akan diberikan kepada para pelajarnya.

“Gelas ini lutsinar,” Cikgu Rahman mendekatkan gelas itu ke mukanya sendiri. Mata kirinya dipejam. “Saya boleh melihat kamu semua melalui kaca ini. Kamu juga boleh lihat saya,” Dia menyambung kata. Sekilas dia membelek gelas kaca itu. “Jika saya berada di dalamnya, saya masih boleh melihat kamu semua kerana kaca ini lutsinar. Namun saya tidak dapat menyentuh kamu. Kaca ini menghalangnya. Faris Aizuddin, inilah realiti kehidupan yang cikgu, kamu dan sekeliling kamu lalui dan bakal alami.” Syarah Cikgu Rahman. Dia meletakkan semula gelas itu. Sebelum beredar Cikgu Rahman berkata lagi, “Jika kamu tidak mahu menjadi seperti alat permainan kanak-kanak dalam dunia ini, maka kamu perlu mengubahnya.” Cikgu Rahman tersenyum dan melangkah pergi.

“Hello kawan, termenung jauh nampak?” Tersentap aku seketika. Terus hilang lamunan tadi. Bila ku toleh, Luqman Hafizi, rakan sekelas sewaktu di sekolah dan kini menjadi rakan sekerjaku duduk berhadapan denganku. Seraya aku mengalih pandangan dan mengacau air kopi ais dengan penyedut minuman. Alunan irama terhasil daripada pertembungan ais dan dinding gelas kaca akibat diaduk.

“Tak adalah, aku masih teringat kata-kata Cikgu Rahman,”

“Tentang gelas itu?” Luqman Hafizi mengajukan soalan.

“Ya.” Sambil mengangkat gelas, aku membuat gaya serupa dengan gaya yang diperagakan oleh Cikgu Rahman dahulu. “Aku masih tidak faham maksud tersiratnya.” Aku meletakkan semula lalu menyedut minuman itu. Luqman Hafizi hanya tersenyum.

Jika diingat, sudah 13 tahun berlalu setelah aku dan Luqman Hafizi menamatkan zaman persekolahan. Jika diingat kembali babak ketika itu, aku, Luqman Hafizi dan rakan-rakan sekelas bakal mendepani peperiksaan getir, SPM. Cikgu Rahman adalah guru yang paling aktif ketika itu memberi semangat, dorongan dan sokongan kepada kami supaya kami sentiasa bersemangat menghadapi peperiksaan. Maklumlah penentu masa depan.

“Tenang, hanya kertas di hadapan kamu. Jangan fikirkan jika kamu susah di atas kertas, tapi fikirlah bagaimana hidup kamu jika kamu susah atas bumi ini,” Itulah di antara kata-kata Cikgu Rahman kepada kami.

Bercerita tentang kehidupan, aku dan Luqman Hafizi telah bergraduasi sebagai pemegang ijazah sarjana muda undang-undang. Kini kami berada di bawah satu bumbung. Hasil titik peluh sekian lama. Faris Hafizi & Co – Peguamcara dan Peguambela. Nama yang tersergam indah di atas papan perspek berwarna gelap. Inilah nama ‘periuk nasi’ aku dan Luqman Hafizi setelah diluluskan dan tertakluk dibawah Akta Perkongsian 1961.

Seperti katak di bawah tempurung. Ertinya orang yang cetek pengetahuannya mengenai hal dunia luar. Tercatat dalam Mutiara Bijaksana, perumpamaan bahasa melayu ini memberi sindiran kepada orang yang picik pengetahuannya, yang tidak bersedia menerima kemajuan, mendabik-dabik dada, berbangga dengan sekelumit yang dia ada. Seperti katak dibawah tempurung ialah perumpamaan bagi orang yang bebal lagi dengu. Maka manusia yang demikian itu, tidak mampu memberi apa-apa sumbangan kepada negerinya. Ringkasnya seseorang yang tidak perihal sekeliling mahupun tidak cakna isu-isu semasa.

“Usah kamu jadi seperti katak dibawah tempurung. Apabila ditanya perihal sekeliling, kamu hanya mampu termangu. Terdiam. Apatah lagi isu-isu semasa yang berlaku pada hari ini.” Ujar Cikgu Rahman dalam satu forum bertajuk ‘Remaja Bitara Sinar Kejayaan Negara. “Contohnya kes remaja yang kian gah menjadi hiasan hadapan akhbar, adakah anda mengambil tahu?’

Nada Cikgu Rahman agak tinggi dan tersenyum. Dewan terdiam seketika. Perhatian telah mula diberikan kepadanya dek nadanya yang berubah. Ada sedikit penekanan walau tidak begitu serius.

“Faris, sudah jam berapa?” Bahuku dicuit.

“Oh, maaf. Maaf,” Aku sedikit menggelabah dan terus menyelak lengan bajuku. “Alamak, nak dekat jam dua. Jom balik pejabat.”

Dengan tergesa-gesa aku mengangkat punggungku dan beralih keluar daripada posisi rehatku tadi. Aku nyaris terlanggar bucu meja berhampiran. Jika terlanggar, pasti sakit. Pasti aku menggosok tempat yang kesakitan itu. Hafizi yang melihat gelagat spontanku gelak besar.

“Hahahaha. Sabar Faris. Tak kemana pun pejabat tu.”  Aku tersengih.

“Siapa mahu bayar? Semalam aku giliran aku. Hari ini kau pula.” Usik Hafizi yang tak henti-henti gelak dek kerana kejadian beberapa saat tadi.

“Yelah giliran aku. Aku tahulah.” Seraya aku mengucuk bahagian rusuknya. Serentak badannya menggelitik. Aku tahu itu menjadi kelemahannya. Geli katanya. Mujur sahaja dia tidak menjerit.

Kereta dipandu Hafizi meluncur laju di tengah kesibukan kotaraya Johor Bahru. Aku yang duduk disebelahnya leka mendengar lagu yang berkumandang di corong radio. Sesekali diselangi dengan celoteh DJ Radio. Sehingga beralih ke segmen berita.

Berita Hari Ini: Seorang ahli perniagaan terkemuka yang dituduh atas kesalahan rasuah dibebaskan oleh pihak mahkamah telah dibebaskan daripada pertuduhan. Bukti-bukti yang dikemukan oleh pihak pendakwa tidak dapat mengukuhkan pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau. Mahkamah telah menutup kes ini. Berita seterusnya.........

Punat radio ditekan. Radio tidak lagi mengeluarkan bunyi. Aku terpaku dengan berita tadi.

“Bulan ini hampir kesemua kes rasuah tidak disabitkan kesalahan. Pelik bukan?” Hafizi bersuara. Menyatakan tidak puas hati dengan berita dengan didengari sebentar tadi. “Entah-entah mahkamah pun terima rasuah. Sungguh tak logik!”

**************************************************************************

“Yang Arif, bersama dengan saya adalah beberapa bukti yang menunjukkan bahawa pihak tertuduh terlibat dengan rasuah pada hari Khamis bersamaan dua disember tahun dua ribu sepuluh,”

Aku membentangkan bukti-bukti kepada Tuan Hakim. Foto, rakaman kamera litar tertutup, dan maklumat rangkaian talian pada hari kejadian. Nyata bukti-bukti itu sangat kukuh memandangkan foto yang dijadikan bahan bukti memaparkan mereka tertuduh menyerahkan segumpal not ringgit Malaysia kepada penerima rasuah.

“Saya bantah yang arif, gambar yang diambil dan rakaman kamera litar tertutup telah digunakan teknik super-impose.”

Radhi, peguam bela yang mewakili tertuduh bergerak ke arahku. Matanya merenung tajam kepadaku sebelum mengalih mukanya dan memandang Tuan Hakim.

 “Malahan maklumat rangkaian talian tidak boleh dijadikan bukti kerana kemungkinan bukan tertuduh yang menelefon pada waktu itu. Atau mungkin juga ada orang lain cuba sabotaj tertuduh.” Peguam bela tertuduh membantah.

Kes ini merupakan di antara kes terbesar yang pernah ditangani. Siapa sangka kali ini aku mendakwa seorang ahli perniagaan terkemuka yang terkenal dengan kebajikannya, penderma terbesar kepada ekonomi Negara dan menjadi peneraju kepada industri automotif Negara.

Sebelum ini, beliau sudah beberapa dihadapkan ke mahkamah, namun kesemuanya didapati tidak bersalah. Perkara ini amat membingungkan aku. Aku sudah melihat rakaman kamera litar tertutup dan foto yang diambil oleh ‘informer’. Malah bahan bukti tersebut telah pun disahkan oleh pakar. Nyata ianya asli! Tidak ada teknik super-impose digunakan. Foto ini mungkin diambil oleh seseorang yang mempunyai dendam terhadapnya kerana foto ini dihantar ke pejabatku bersampulkan sampul surat putih dan bertulis ‘Ananymous’ sahaja.

Aku mengemukan lima orang saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan terhadap tertuduh. Setelah menjalani proses temuduga olehku, mereka ini mempunyai keterangan yang kukuh untuk didengar di dalam perbicaraan.

Setelah beberapa jam sesi perbicaraan berlangsung, Tuan Hakim bersuara.

“Mahkamah telah memutuskan bahawa Dato’ Ahmad Fadzil Aziz didapati tidak bersalah di dalam tuduhan rasuah. Bukti-bukti yang dikemukan tidak dapat menyatakan tertuduh bersalah. Keputusan adalah muktamad.” Tukul diketuk tiga kali.

“Mahkamah bersurai.”

Kesemua yang berada di dalam dewan bicara mulai beransur keluar. Hanya aku yang masih berdiri di meja pendakwa. Masih terkesima dengan keputusan yang diberikan.

Dilepaskan? Tidak mungkin! Bukti itu nyata. Apakah yang sedang berlaku?

Radhi berjalan menghampiriku dan sebelum berlalu, dia sempat menepuk bahuku beberapa kali. Aku diam. Dia memberikan aku senyuman sinis.

Aku dah menang!

Mungkin itu yang ingin dilafazkannya. Setelah dewan kosong, aku mula melangkah keluar. Tiba-tiba aku menangkap suara-suara yang datang dari pintu utama. Aku bersandar di balik pintu dan merapatkan telinga ke daun pintu.

“Terima kasih tuan kerana kata saya tak bersalah. Terhutang budi pula rasanya. Dah banyak kali tuan tolong saya. Hahaha.”

“Jangan kata begitu. Jika tidak kerana cek ini, saya akan katakan kamu bersalah. Bukti tu dah terangkan menunjukkan kamu.”

Itu suara Tuan Hakim.

Cek? Astaghfirullah. Adakah Tuan Hakim telah dirasuah?

Mustahil! Mereka telah bersepakat sebelum aku mengemukakan bukti. Aku tidak menyangka perkara ini boleh berlaku dalam menegakkan kebenaran.

Jika saya berada di dalamnya, saya masih boleh melihat kamu semua kerana kaca ini lutsinar. Namun saya tidak dapat menyentuh kamu. Kaca ini menghalangnya. Faris Aizuddin, inilah realiti kehidupan yang cikgu, kamu dan sekeliling kamu lalui dan bakal alami.

***************************************************************************

“Cikgu, boleh saya nak tahu erti sebenar katak di bawah kaca?” Aku bertanya kepada Cikgu Rahman sewaktu duduk di Zon Ilmu. Kebetulan Cikgu Rahman melalui kawasan tersebut, lantas aku memanggilnya dengan cara sopan.

“Katak bawah kaca? Saya tak pernah dengar pun?” Cikgu Rahman mengerutkan dahinya tetapi masih mengukir senyuman.

“Sebelum ini cikgu ada katakan tentang makna perumpamaan katak bawah tempurung. Kemudian cikgu bercerita tentang gelas dengan realiti kehidupan. Jadi, saya mengandaikan bahawa kata-kata cikgu itu mempunyai kaitan. Saya pun simpulkan ianya katak bawah kacalah.”

Aku membuat gaya seolah-olah katak di bawah tempurung dengan menadah tapak tangan kiri dan katak bawah kaca dengan menadah tapak tangan kanan. Cikgu Rahman tersenyum.

“Baiklah. Nampaknya kamu sudah mengerti kata-kata cikgu itu. Cuma belum nampak secara mendalam. Apa pun duduk dahulu. Tak molek berbual menghalang laluan orang lain.”

Aku mengangguk dan menoleh ke belakang. Rupanya ada sekumpulan pelajar perempuan yang terhalang laluannya olehku dan Cikgu Rahman.

“Eh, maaf,” Aku tersengih. Lalu kami pun duduk di kerusi yang disediakan di Zon Ilmu.

“Faris, katak di bawah tempurung bermaksud kamu langsung tidak tahu menahu perihal dunia luar. Isu-isu semasa. Tetapi katak bawah kaca. Eh betulkah apa yang cikgu sebut ni?” Cikgu Rahman pula menyoal aku. Minta kepastian.

“Ya cikgu. Katak bawah kaca. Andaian saya sahaja.” Aku fokus untuk mendengar penjelasan dari Cikgu Rahman.

“Baik, katak bawah kaca. Berbeza dengan perumpamaan melayu, katak bawah kaca bermaksud kamu nampak perkara yang berlaku di hadapan kamu, tetapi kamu tidak mampu membuat apa-apa. Hanya mampu melihat sahaja. Malah ia berlalu begitu sahaja. Tempurung zahirnya legap. Kamu nampak apa-apa melalui bahan legap?”

“Tidak.”

“Kaca zahirnya pula lutsinar. Kamu boleh nampak melaluinya?”

“Ya. Nampak.”

“Begitu juga realiti.”

Aku mengangguk faham.


GLOSARI

Informer – gelaran bagi orang yang berkhidmat memberitahu segala maklumat.
Super-impose – teknik mencantum gambar sehingga memperlihatkan ianya kelihatan asli.

3 comments:

Faris Aizuddin? oii..sape yg membenarkan? hahaha

daku menyemai kamu berdua sebagai watak dalam cerita ini dan seterusnya. :)

komen2 anda dapat membantu saya untuk meningkatkan penulisan saya. jangan lupa komen dan follow ya. terima kasih :)

Post a Comment